Kota Kinabalu : Sabah FC II kini menunjukkan perkembangan positif dan jauh lebih yakin dengan pembaharuan khususnya dalam aspek latihan, komunikasi dan mentaliti.
Pengendalinya Alto Linus berkata,ia termasuklah usaha bagi menangani kesilapan mudah ketika beraksi pada perlawanan sebenar selain mahu mendapatkan tiga mata pertama di laman sendiri bertemu Kedah Darul Aman FC B pada saingan Piala MFL mala mini.
“Setakat ni apa yang dapat saya lihat, perkembangan dan persefahaman mereka dalam latihan serta kemahiran yang diterapkan telah menunjukkan respon dan tahap cukup baik.
“Walaupun saya tidak boleh katakan peratusan perkembangan yang mereka capai, namun, apa yang pasti, perkembangan skuad saya mampu memberi saingan berkualiti dan tidak mustahil mencapai tiga mata pertama di laman sendiri, esok,” katanya dalam kenyataan di sini.
Alto berkata, meskipun mempunyai tiga minggu melatih dan membentuk mentaliti serta taktik formasi pemain, namun, beliau yakin anak buahnya mampu memberi fokus dan komitmen terbaik.
“Kali ni, kita juga membawa idea untuk memperbanyakkan perbincangan bersama pemain berhubung analisis video dan visual dalam sesi latihan mereka.
“Melalui perbincangan dan penelitian video ini dapat memberikan mereka gambaran jelas serta dapat mengenalpasti kesilapan dan ruang yang boleh diperbaiki.
“Selain itu, mereka juga turut belajar memperbaiki kesilapan-kesilapan kecil mereka semasa sesi latihan, mengukuhkan kemahiran dan dapat menunjukkan permainan yang matang dan lebih bagus,” katanya.
Dalam pada itu, Alto berharap agar penyokong dan peminat dapat terus memberi sokongan kepada pasukan Sabah FC II.
“Kita tahu bukan senang untuk mencapai sesuatu, namun, kini, saya berada dalam pasukan ini dan memberi segala yang terbaik dengan berusaha untuk membentuk pasukan Sabah FC II ke satu tahap terbaik.
“Mungkin ia memerlukan waktu, walaupun tidak terlalu cepat, namun, selangkah demi selangkah, kami akan membentuk mereka, menjadi pemain negeri yang cemerlang dan matang dalam permainan, lebih-lebih mereka adalah pelapis yang bakal bermain dalam pasukan senior,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC