HomeUtamaPeniaga pasar basah masih dibenarkan guna beg plastik - DBKK

Peniaga pasar basah masih dibenarkan guna beg plastik – DBKK

Read Time:1 Minute, 46 Second

Kota Kinabalu : Peniaga pasar basah masih dibenarkan untuk menggunakan beg plastik kepada pembeli meskipun penggunaan beg plastik khususnya di sekitar bandaraya Kota Kinabalu tidak lagi dibenarkan sepenuhnya bermula 1 Ogos ini.

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Sabin Samitah berkata, kempen ‘Bawa Beg Bah’ (3B) itu kini telah memasuki fasa akhir pelaksanaan yang bertujuan untuk mengurangkan penggunaan beg plastik kovensional.

“Setakat ini reaksi peniaga dan pengguna cukup bagus.  Kempen ini sebenarnya telah dimulakan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sebelum ini hanya untuk beberapa hari dalam seminggu.

“Jadi bila kita mulakan pada 1 Ogos ini,  setakat ini respon yang kita dapat boleh dikatakan cukup baik sambutan daripada para peniaga dan juga orang ramai.

Salah sebuah premis di Kota Kinabalu yang melaksanakan kempen 3B

“Bagi pasar basah pula, kita masih boleh menggunakan plastik. Walaubagaimanapun kita cuba menggalakkan mereka untuk menggunakan bahan yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan mesra kepada peniaga sekitar Jalan Gaya seterusnya mengagihkan bendera Jalur Gemilang dan Sabah sempena pelancaran Bulan Kebangsaan Hari Sabah dan Kibar Jalur Gemilang di sini hari ini.

Sabin berkata, pihaknya akan melaksanakan kaedah advokasi dan mengadakan lawatan mesra kepada para peniaga yang masih belum melaksanakan kempen 3B yang bermula Khamis ini.

“Seperti yang saya katakan, di peringkat permulaan ini kita akan membuat lawatan mesra dan melihat kenapa mereka tidak boleh laksanakan perkara tersebut.

“Tetapi kita yakin para peniaga dan orang ramai akan menyambut baik kempen ini,” katanya.

Sebelum ini, Sabin berkata, penggunaan beg plastik khususnya di sekitar bandaraya Kota Kinabalu tidak akan diberikan sepenuhnya kepada pembeli bermula Ogos depan.

“DBKK juga sedang dalam usaha untuk mengembangkan Kempen 3B ke fasa keempat pelaksanaannya.

“Fasa ini melibatkan pasar dalam dan luar bangunan dibawah pengurusan DBKK yang terdiri daripada enam buah pasar dalam bangunan dan 44 tapak pasar luar bangunan.

“Sementara itu, fasa kelima iaitu fasa terakhir kempen ini yang dijangka bermula pada Ogos akan menambah bilangan hari daripada tiga hari kepada tujuh hari seminggu,” katanya.

Sabin berkata, pihaknya berharap melalui kempen itu ianya dapat menggalakkan amalan hijau melalui konsep 3R (Reduce, Reuse dan Recycle) dalam kalangan warga Kota Kinabalu. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah tuan rumah ATE 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular