HomeUtamaSabah tetap dengan pendirian tidak iktiraf tuntutan luar - Hajiji

Sabah tetap dengan pendirian tidak iktiraf tuntutan luar – Hajiji

Read Time:2 Minute, 5 Second

Kota Kinabalu: Sabah tetap dengan pendirian tidak mengiktiraf sebarang tuntutan pihak luar ke atas negeri ini termasuk oleh kumpulan yang mendakwa sebagai pewaris Kesultanan Sulu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sebarang cubaan tuntutan termasuk melalui pencerobohan yang berlaku pada insiden pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013 akan terus ditentang.

Menurutnya, dakwaan yang mengatakan Sabah milik Kesultanan Sulu sememangnya adalah tidak berasas selainnya ianya sudah tidak wujud dan tidak pernah diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.

“Kesultanan Sulu sudah lama tidak wujud dan tidak diiktiraf oleh mana-mana negara berdaulat atau organisasi antarabangsa.

“Ia adalah percubaan tidak berasas oleh kumpulan berkenaan untuk mendakwa kedaulatan ke atas wilayah Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran buku mengenai Op Daulat Tanduo di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Buku bertajuk ‘Pasukan Gerakan Am, Briged Sabah: Menghapuskan Pengganas dan Kolum Kelima di Kampung Tanduo, Lahad Datu’ itu menceritakan kisah sebenar ketika insiden pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013.

Dokumentasi mengenai operasi pasukan keselamatan ketika insiden itu dilakukan menerusi kerjasama Jabatan Arkib Negeri Sabah dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah.

Hajiji berkata pendirian kerajaan negeri jelas dan selaras dengan suara rakyat Sabah yang memilih untuk membentuk Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia pada tahun 1963 (MA63). 

Katanya sebarang tuntutan luar tidak akan dilayan oleh kerajaan Sabah dan rakyat di negeri ini secara keseluruhannya.

“Pengorbanan pasukan keselamatan, terutama ketika insiden Tanduo adalah besar kerana mereka berjuang untuk kedaulatan negara dan keselamatan rakyat dengan nyawa mereka.

“Peranan PGA dalam insiden itu sangat dihargai semua rakyat Malaysia kerana tanpa keberanian dan pengorbanan mereka, kedaulatan negara akan terancam.

“Oleh itu, saya berharap buku ini akan memberi manfaat kepada orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai pencerobohan pengganas di Tanduo dan pengorbanan pasukan keselamatan kita.

“Sebagai warganegara Malaysia, kita perlu mengambil iktibar daripada insiden itu dan terus memperkuat semangat patriotik kita dalam memastikan kedaulatan negara terus dilindungi dan dipelihara,” katanya.

Terdahulu, mengenai buku itu, Hajiji berharap penerbitan buku itu membolehkan generasi muda dapat memahami apa yang berlaku ketika pencerobohan berkenaan khususnya pengorbanan pasukan keselamatan negara.

Katanya, peristiwa yang sudah 11 tahun berlalu sejak pencerobohan Tanduo dan selaras dengan pengukuhan keselamatan di Pantai Timur Sabah, keadaan di Lahad Datu kini sudah kembali normal.

“Kerajaan mengambil langkah kritikal dengan membentuk East Sabah Security Command (ESSCOM) yang banyak membantu dalam mengembalikan keadaan normal di Lahad Datu.

“ESSCOM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan PGA  mengukuhkan lagi pengawasan di perairan Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA 

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular