HomePendapatVAPE - penggunaan yang semakin membimbangkan

VAPE – penggunaan yang semakin membimbangkan

Read Time:5 Minute, 46 Second

Oleh – Wan Azrain Adnan

1.        Pada awal Julai 2024, menjawab soalan di Dewan Rakyat, Kementerian Kewangan Malaysia telah memaklumkan bahawa Kerajaan Malaysia telah berjaya mengutip cukai berjumlah RM 141.1 juta berkaitan Cecair Vape, sejak cukai berkenaan mula di kenakan pada tahun 2021.

PerkaraJumlah Kutipan Cukai (2021 – 2024)
Cecair Vape tanpa NikotinRM 82.51 juta
Cecair Vape ada NikotinRM 58.55 juta
JumlahRM 141.1 juta

2.        Fakta menarik: Sebagai usaha untuk mengawal-selia produk berkaitan vape, Kerajaan Malaysia telah mengenakan Cukai/ Duti Eksais ke atas Cecair Vape:

PerkaraKadar Duti EksaisTarikh Mula Kuat-Kuasa
Cecair Vape tanpa Nikotin40 sen per mililiter1 Januari 2021
Cecair Vape ada Nikotin40 sen per mililiter1 Mei 2023

Pada masa yang sama, semua jenis peranti rokok elektronik dan bukan elektronik termasuk vape, turut di kenakan duti eksais ad valorem 10%, bermula 1 Januari 2021. (nota: ad valorem bermaksud bergantung kepada nilai)

3.        Berdasarkan makluman Kementerian Kewangan Malaysia tersebut, dalam tempoh masa 1 tahun sahaja, sejak 1 Mei 2023, jumlah cukai untuk cecair vape ada nikotin sudah mencapai RM 58.55 juta. Berbanding dengan jumlah cukai RM 82.51 juta untuk cecair vape tanpa nikotin untuk tempoh 3 tahun, sejak 1 Januari 2021.

Ini bermakna cecair vape ada nikotin sangat popular dan banyak di gunakan.

4.        Menurut Kementerian Kewangan Malaysia lagi, ketika ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang memuktamadkan Peraturan Produk Merokok di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Akta 852) yang merangkumi kawalan ke atas produk vape, di mana ianya di jangka berkuat-kuasa pada bulan Ogos 2024. Dengan peraturan berkenaan, mekanisma kawalan ke atas produk vape akan menjadi lebih komprehensif dan berkesan.

Maka, hasil kutipan cukai ke atas produk vape juga boleh di tingkatkan.

5.        Pada pertengahan Mei 2024, Menteri Kesihatan Malaysia telah mengumumkan laporan Global Adult Tobacco Survey (GATS) 2023.Laporan GATS 2023 menunjukkan trend penggunaan rokok elektronik/ vape yang terus meningkat serta membimbangkan.

6.        Fakta menarik: Global Adult Tobacco Survey (GATS) 2023 merupakan laporan yang di sediakan oleh Institut Kesihatan Umum, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat.

GATS 2023 adalah kaji-selidik yang ke-2 di laksanakan, di mana GATS yang pertama telah di laksanakan pada tahun 2011.

7.        Kaji-selidik GATS 2023 telah di laksanakan di seluruh negara pada bulan Jun – Julai 2023, melibatkan temuramah dengan 4,269 orang yang di pilih secara rawak, berumur 15 tahun ke atas.

8.        Menurut laporan GATS 2023:

  • jumlah pengguna rokok elektronik/ vape telah meningkat lebih 6 kali ganda dalam tempoh masa 12 tahun (2011 – 2023), iaitu dari 0.8% (2011) kepada 5.8% (2023)
  • jumlah dwi-pengguna, iaitu perokok tembakau dan pengguna rokok elektronik/ vape), telah meningkat hampir 4 kali ganda dalam tempoh masa 12 tahun (2011 – 2023), iaitu dari 0.8% (2011) kepada 3.9% (2023)

9.        Seterusnya, laporan GATS 2023 menunjukkan ramai pengguna rokok elektronik/ vape adalah golongan muda berumur 15 – 24 tahun. Ini adalah situasi yang amat membimbangkan, di mana boleh menghasilkan kesan negatif jangka panjang kepada kesihatan golongan berkenaan.

10.      Malah, prevalens penggunaan rokok elektronik/ vape di kalangan golongan muda berkenaan (umur 15 – 24 tahun) telah meningkat berlipat kali ganda, dari 1.1% (2011) kepada 8.6% (2023).

11.      Peningkatan penggunaan berkali-kali ganda dalam tempoh masa tersebut membuktikan populariti dan daya tarikan rokok elektronik/ vape sebagai satu elemen gaya hidup yang sudah di terima ramai, terutamanya golongan muda.

12.      Oleh kerana ramai pengguna rokok elektronik/ vape adalah golongan muda, internet telah menjadi platform utama untuk memasarkan produk rokok elektronik/ vape. 

13.      Prevalens penggunaan rokok elektronik/ vape yang tinggi di kalangan golongan muda telah meraih reaksi dari pelbagai pihak. Lebih-lebih apabila penggunaan vape di laporkan melibatkan dadah.

14.      Pada awal Julai 2024, ketika Persidangan Dewan Rakyat, Menteri Dalam Negeri Malaysia telah memaklumkan bahawa laporan awal kaji-selidik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) mendapati 65 daripada 152 pelajar di Kelantan telah di kesan terlibat menggunakan vape yang di campur dengan dadah sintetik ‘magic mushroom’.

Beliau turut berkata, kesan ‘magic mushroom’ adalah lebih menggerunkan daripada dadah jenis methamphetamine dan syabu.

15.      Menurut Pengerusi Alliance for Safe Community, dalam tempoh masa 5 tahun (2017 – 2022), jumlah belia berumur 13 – 17 tahun yang merokok telah menurun dari 13.8% (2017) kepada 6.2% (2022).

Sebaliknya, penggunaan vape oleh kumpulan belia berkenaan telah meningkat tinggi, dari 9.8% (2017) kepada 14.9% (2022).

16.      Manakala, berdasarkan kaji-selidik oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang melibatkan 5,000 pelajar di seluruh negara, 60% (3,000 pelajar) telah mengakui menggunakan vape.

Justeru itu, CAP telah mengesyorkan agar penggunaan vape di haramkan untuk menyelamatkan golongan muda dari ketagihan nikotin.

17.      Menurut kenyataan Southeast Asia Tobacco Control Alliance (SEATCA), lima daripada sepuluh negara ASEAN telah mengharamkan penjualan dan penggunaan produk rokok elektronik: Brunei, Cambodia, Laos, Singapura dan Thailand.

Di Myammar dan Vietnam pula tiada larangan wujud ke atas rokok elektronik.

Manakala, Filipina, Indonesia dan Malaysia mengawal-selia penggunaan rokok elektronik.

18.      Sebelum ini, cecair vape tidak dapat di kenakan cukai kerana terletak di bawah senarai Akta Racun 1952. Maka, untuk melaksanakan cukai ke atas cecair vape, Kerajaan Malaysia telah mewartakan cecair vape di kecualikan dari Akta Racun 1952.

19.      Tindakan tersebut telah menimbulkan keresahan serta bantahan dari pelbagai pihak. Rata-rata ramai berpendapat tindakan tersebut seumpama Kerajaan Malaysia lebih mengutamakan hasil kutipan cukai berbanding dengan kesihatan awam.

20.      Menurut Pengurus Besar JT International Bhd (JTI) Malaysia, iaitu sebuah pengeluar rokok global, berdasarkan kajian yang di laksanakan oleh Nielsen dan data industri, jumlah rokok sah telah berkurangan sebanyak 45% dalam tempoh 10 tahun, dari 12.72 billion batang rokok (2013) kepada 6.94 billion (2023).

21.      Antara punca pengurangan tersebut ialah ramai telah beralih kepada rokok elektronik/ vape. Lebih-lebih lagi kini cecair vape di kecualikan dari Akta Racun 1952, di mana akses kepada produk vape menjadi lebih mudah dengan harga lebih murah.

22.      Malaysia seolah-olah memiliki hubungan ‘love-hate’ dengan rokok elektronik/ vape. Dari satu sudut, Kerajaan Malaysia dapat mengutip hasil cukai ke atas produk rokok elektronik, di mana jumlah kutipan cukai di jangka akan terus meningkat. Sebaliknya, penggunaan rokok elektronik/ vape yang tinggi di kalangan golongan muda adalah sesuatu yang membimbangkan dan boleh memberi kesan negatif jangka panjang kepada golongan muda berkenaan dan negara.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis Keningau buru suspek terlibat kes bunuh

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular