HomeUtamaUmat Islam semakin peka, cakna terhadap tuntutan dan piawaian syariah - Arifin

Umat Islam semakin peka, cakna terhadap tuntutan dan piawaian syariah – Arifin

Read Time:2 Minute, 15 Second

Kota Kinabalu : Umat Islam kini dilihat cenderung untuk kembali kepada pendekatan patuh syariah, memperkasa indeks syariah selain menghasilkan produk-produk syariah dalam makanan dan sebagainya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, ia merupakan satu petanda baik untuk umat Islam kembali ke jalan yang ditertibkan dan diredai Allah SWT. 

Katanya, ia juga menunjukkan betapa umat Islam kini semakin peka dan cakna terhadap tuntutan serta piawaian syariah khususnya ketika masyarakat kini sedang menongkah arus zaman yang serba maju dan mencabar.

“Senario ini secara tidak langsung menyeru serta mengajak umat Islam terutama sekali generasi muda untuk memperkasa diri dengan ilmu pengetahuan berkaitan agama Islam selain berusaha menguasai cabang ilmu yang lain seperti sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik. 

“Meskipun kita berasa teruja dengan perkembangan yang positif berkenaan, kita juga amat berdukacita kerana saban hari dihidangkan dengan perkara-perkara yang kurang enak mengenai institusi keluarga atau rumah tangga. 

“Selain kes bilangan perceraian pasangan suami isteri yang meningkat, kes pengabaian dan penderaan juga semakin membimbangkan. Ia meliputi penderaan serta pengabaian terhadap isteri dan anak-anak sehingga ada yang menemui ajal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Kenali Lelaki Qawwam dan Bidadari Syurgaku di Dewan Saadah Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di sini hari ini.

Arifin berkata, pihak berkuasa dan juga NGO yang berkaitan telah berusaha mengikut skop peranan masing-masing bagi mengekang gejala sosial yang mengerikan itu.

Namun katanya, pengenalan atau penggubalan peraturan serta undang-undang semata-mata belum memadai kalau  ia tidak dipatuhi dan dikuatkuasakan.

“Berdasarkan kepada faktor ini, adalah penting bagi setiap anggota masyarakat mengetahui kebaikan dan keburukan di sebalik setiap suruhan dan larangan agama sekali gus mentarbiah diri mematuhi segala peraturan hidup beragama dan bermasyarakat secara tertib dan harmoni.  

“Umat Islam akan selamat jika hidup berpandu wahyu melalui syariat dan hidayat Allah. Ini kerana syariat Islam bersifat kekal, abadi dan tetap untuk menjaga kedudukannya dan ia tidak boleh diubah. 

“Tujuannya ialah untuk memelihara jalinan sosial Islam supaya sentiasa jitu dan teguh pada setiap zaman. Walaupun bersifat kekal, ia mempunyai keupayaan menakjub, iaitu ia dapat menerima perubahan dalam kehidupan,” katanya.

Terdahulu, Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agaman berkata,  penganjuran Seminar Kenali Lelaki Qawwam dan Bidadari Syurgaku itu amat tepat dan begitu relevan dengan keadaan semasa. 

Katanya, ia merupakan satu ikhtiar yang proaktif dalam kerangka membina keluarga Sakinah, penghayatan kepada pengisian seminar ini juga dapat membantu meminimumkan berlakunya kes-kes yang menggugat keharmonian institusi keluarga. 

“Realitinya menjadi suatu tuntutan kepada setiap individu Muslim mengenal atau mengetahui ciri-ciri lelaki qawwami dan bidadari syurgaku. 

“Ia penting bukan sahaja dalam konteks pemilihan pasangan, malahan ia juga amat relevan dalam konteks pemilihan calon menantu,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Draf Kertas Kabinet Mengenai Pengasingan Kuasa AG Dijangka Siap Pertengahan Tahun...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular