HomeSukanSUKMA XXI : Ganjaran terbaik menanti atlet Sabah yang berjaya raih pingat

SUKMA XXI : Ganjaran terbaik menanti atlet Sabah yang berjaya raih pingat

Read Time:2 Minute, 3 Second

Kota Kinabalu : Atlet Sabah yang berjaya meraih pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 (SUKMA XXI) di Sarawak bakal menerima ganjaran terbaik.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bendera Negeri Sabah kepada Kontinjen Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

“Ganjaran terbaik pasti menanti para atlet yang berjaya meraih pingat pada  SUKMA Sarawak kali ini,” katanya.

Hadir sama pada majlis penyerahan itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya; Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin dan Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Fairuz Renddan.

SUKMA XXI akan berlangsung di Sarawak bermula 17 Ogos hingga 24 Ogos depan.

Hajiji turut menasihati semua atlet supaya mengekalkan tahap disiplin yang tinggi yang merupakan elemen paling penting apabila bertanding dalam mana-mana pertandingan.

“Sehebat mana pun atlet itu, jika tidak berdisiplin, keupayaannya itu tidak akan sampai ke mana. Saya yakin persatuan sukan dan jurulatih telah menyampaikan perkara ini kepada semua atlet. Kita tidak mahu nama baik negeri buruk hanya kerana tidak berdisiplin.

“Saya yakin, kontinjen SUKMA Sabah telah bersedia sepenuhnya dari segi mental dan fizikal. Oleh itu, saya berharap semua atlet dapat menjaga pemakanan seharian terutama dalam pengambilan makanan tambahan atau suplemen yang dibenarkan,” katanya.

Beliau turut meminta  semua atlet agar terus menjaga kesihatan memandangkan hanya kira-kira dua minggu lagi sebelum SUKMA berlangsung.

Menurutnya, semua pegawai pengiring juga perlu sentiasa menjaga keselamatan dan kebajikan atlet sepanjang berada di Sarawak.

Dalam pada itu, Hajiji turut meminta kontinjen Sabah seramai 713 orang yang beraksi di temasya SUKMA di Sarawak untuk melakukan yang terbaik bagi mencapai sasaran 40 pingat emas.

Beliau yakin pasukan Sabah mampu mencapai sasaran yang ditetapkan tahun ini berdasarkan prestasi Sabah dalam SUKMA ke-20 di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Pada SUKMA itu, Sabah berjaya membawa pulang 30 emas, 30 perak, dan 38 gangsa. 

Pada tahun 2022, Sabah menduduki tempat keenam daripada 15 kontinjen yang bertanding dalam sukan paling berprestij negara itu yang turut menyaksikan penyertaan kontinjen dari negara Brunei Darussalam.

“Kepada semua 713 atlet yang mewakili Sabah dalam sukan dwitahunan ini, berjuanglah sepenuh tenaga dengan semangat kesukanan yang tinggi untuk mengharumkan nama Sabah.

“Saya menaruh sepenuh kepercayaan dengan kemampuan atlet-atlet kita dan atlet semua akan membawa kejayaan yang pastinya akan menjadi penanda aras bagi semua acara sukan di negeri ini.

“Dapatkan catatan rekod terbaik supaya anda semua (atlet) boleh mewakili Malaysia ke peringkat lebih tinggi termasuk dalam kejohanan dunia atau olimpik,” katanya. –SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

Piala Malaysia : Perlawanan ini sangat penting – Martin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular