HomeUtama30 rumah atas air roboh di Kg Simunul

30 rumah atas air roboh di Kg Simunul

Read Time:1 Minute, 23 Second

SEMPORNA: Sebanyak 30 buah rumah melibatkan kira-kira 190 orang penduduk hilang tempat tinggal apabila rumah yang didiami roboh dalam kejadian berlaku di penempatan atas air Kampung Simunul dekat sini pada pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan pada jam 1.18 petang semalam (1 Ogos) Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna telah terima maklumat dari orang awam memaklumkan telah berlaku kejadian rumah roboh di penempatan atas air Lorong 3 Kg Simunul, Semporna.

“Kejadian melibatkan sebanyak 30 buah rumah yang membabitkan 30 keluarga yang terdiri dari 28 buah rumah warga tempatan dan dua buah rumah warga asing.

“Jumlah isi rumah yang terlibat seramai 190 orang warga tempatan dan enam warga asing,” katanya.

Walau bagaimanapun katanya, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini.

Menurut Mohd Farhan, kejadian berlaku dipercayai berpunca dari angin kuat serta ombak besar yang berlaku pada 8 Julai lalu yang menyebabkan dua buah rumah mengalami kerosakan.

“Namun pada 1 Ogos semalam (Khamis) jam lebih kurang 10.15 pagi, dua buah rumah telah roboh disusuli oleh rumah yang lain ekoran dari struktur rumah yang dibina berdekatan dan bersambung antara satu sama lain,” jelasnya.

Beliau berkata, keluarga yang terlibat dalam kejadian ini telah dipindahkan ke pusat penempatan sementara di Dewan PPR Bubul Ria, Semporna.

“Pos kawalan tempat kejadian ( PKTK ) telah didirikan di lokasi kejadian bagi menyelaras dan memantau keadaan.

“Beberapa agensi berkaitan turut terlibat dalam kerja-kerja menyelamat dan menyelaras termasuk pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM ) serta SESB.

“Sebanyak 33 laporan polis telah dibuat berkaitan rumah yang roboh serta kerugian yang dialami oleh keluarga yang terlibat untuk tindakan lanjut,” tambah beliau.

RELATED ARTICLES
Utama

Bersatu dalam meraikan kepelbagaian dan kepercayaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular