HomeUtamaLebih 300 pelajar, guru SMK Wallace Bay nikmati sambungan internet lebih baik

Lebih 300 pelajar, guru SMK Wallace Bay nikmati sambungan internet lebih baik

Read Time:1 Minute, 39 Second

Tawau : Lebih 300 pelajar dan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wallace Bay Pulau Sebatik di sini kini menikmati ketersambungan internet yang lebih baik menerusi pelaksanaan inisiatif komuniti Yayasan PETRONAS.

Inisiatif yang dilancarkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif itu turut memberi manfaat kepada komuniti yang lebih meluas di pulau berkenaan pada masa hadapan.

Arifin ketika berucap melancarkan inisiatif itu berkata, ia bukan hanya membuka pintu kepada dunia digital tetapi juga memberikan peluang yang lebih luas untuk pembelajaran serta pembangunan diri.

“Seperti yang kita sedia maklum, tahap penembusan internet di Sabah, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, seperti di Wallace Bay, masih berada di tahap yang perlu ditambah baik dan diatasi dalam melonjakkan Malaysia menjadi sebuah negara berteknologi tinggi.

“Tidak dinafikan, teknologi dan internet merupakan alat yang penting untuk pendidikan dan pembangunan ekonomi.

“Dengan inisiatif ini, kita bukan sahaja menyediakan akses kepada internet yang lebih baik tetapi juga melengkapkan para pelajar dengan kemahiran yang diperlukan di dalam era digital ini,” katanya.

Hadir sama Naib Presiden Kanan PETRONAS bagi Pengurusan Petroleum Malaysia Datuk Ir Bacho Pilong.

Sementara itu, Ir Bacho berkata, pendidikan adalah penting untuk menjamin masa depan yang lebih baik.

Katanya, dengan kemajuan pesat teknologi, kepentingan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) tidak boleh dipandang ringan.

“Kami percaya bahawa ketersambungan digital boleh meningkatkan pengalaman pembelajaran di kalangan pelajar dan menyokong daya usaha guru dalam mendidik pelajar.

“Ini adalah antara inisiatif PETRONAS untuk memastikan kita maju secara kolektif sebagai sebuah negara,” katanya.

Acara berkenaan turut menyaksikan obor jelajah PETRONAS 50 Homecoming dibawa ke sekolah berkenaan sebagai simbol penghargaan terhadap semangat kental untuk mengatasi cabaran demi mencapai kejayaan.

Inisiatif internet komuniti merupakan sebahagian daripada komitmen Yayasan PETRONAS untuk memartabatkan komuniti di seluruh Malaysia melalui tiga teras program impak sosialnya iaitu Pendidikan, Kesejahteraan dan Pembangunan Komuniti, dan Alam Sekitar.

Dengan menangani keperluan kritikal ketersambungan internet di kawasan terpencil, Yayasan PETRONAS berhasrat untuk memperkasakan komuniti tempatan dengan akses kepada sumber pendidikan yang lebih luas. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Large Scale Solar Menawarkan ‘Value for Money’ untuk Bekalan Elektrik Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular