HomeUtamaESSCOM, KTYS rapatkan jalinan mesra, santuni komuniti Sandakan

ESSCOM, KTYS rapatkan jalinan mesra, santuni komuniti Sandakan

Read Time:2 Minute, 38 Second

SANDAKAN: Lebih 500 warga Sandakan menghadiri program sosioekonomi anjuran bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) di Dewan Serbaguna, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni, di sini, semalam.

Program tersebut bertujuan untuk memberi kursus dan pengetahuan kepada golongan sasar agar mendapat satu kemahiran yang boleh diguna pakai untuk meningkatkan ekonomi keluarga dan masyarakat.

Selain memberi pengetahuan dan pendedahan kepada peserta dan semua yang hadir tentang ilmu keusahawanan melalui taklimat keusahawanan dan kaunter konsultasi dari agensi berkaitan seperti MARA, TEKUN dan Yayasan Usaha Maju.

Ia juga bertujuan sebagai aktiviti keprihatinan bersama penduduk di penempatan semula PPR Taman Harmoni di mana sebahagian peserta adalah daripada kalangan penduduk PPR itu.

Antara pengisian program ini ialah taklimat kesihatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Sandakan, pameran oleh agensi kerajaan, kaunter pengambilan pelajar, kaunter pengambilan askar wataniah, cabutan bertuah, kuiz keselamatan dan demonstrasi oleh Sun Academy, Sandakan.

Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang merasmikan majlis penutupan program tersebut, mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak ESSCOM dan KTYS atas kejayaan menganjurkan program tersebut.

Beliau berharap ianya permulaan kepada usaha yang lebih besar dalam memperkasa dan memajukan komuniti kita.

Menghargai sumbangan besar ESSCOM kepada penduduk di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) khususnya di Sandakan, beliau berkata, ESSCOM telah memainkan peranan penting dalam mengawal keselamatan di kawasan timur Sabah, termasuk Sandakan, daripada ancaman keselamatan seperti pencerobohan dan jenayah rentas sempadan.

“Dengan adanya ESSCOM, kita dapat menjalani kehidupan seharian dengan lebih tenang dan selamat. Usaha berterusan mereka dalam rondaan keselamatan, penguatkuasaan undang-undang dan kerjasama erat dengan komuniti setempat amat dihargai dan patut dipuji. Sebagai rakyat Malaysia, kita patut sama-sama membantu agensi penguatkuasaan dengan menyalurkan maklumat untuk membanteras jenayah,” katanya.

Turut dihargai ialah KTYS yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan modal insan melalui pelbagai program pendidikan dan latihan kemahiran.

“Program sosioekonomi yang kita raikan hari ini adalah salah satu contoh bagaimana kerjasama antara institusi pendidikan dan agensi kerajaan dapat membawa manfaat besar kepada komuniti.

“KTYS telah menyediakan platform untuk penduduk tempatan mempelajari kemahiran baharu dalam bidang teknikal, vokasional dan keusahawanan, yang dapat digunakan untuk menjana pendapatan tambahan serta meningkatkan taraf dan kualiti hidup mereka.

“Dalam program ini juga, KTYS mempromosikan dan menawarkan kursus seperti asas seni lukisan logam, asas seni lukisan fabrik abstrak, asas seni jahitan sulaman dan kreatif dan Kursus Bahasa Mandarin.

Beliau berharap agar semua peserta dapat memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang diperolehi sepanjang program dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.

Terdahulu, Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) berkata, Kerajaan telah melaksanakan program-program melalui KKTP dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) untuk meningkatkan infrastruktur, kemudahan awam dan membantu rakyat di Sandakan.

Katanya, ini termasuk pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) seperti PPR Taman Mesra, PPR Taman Harmoni, PPR Taman Murni, PPR Lintas Sibuga, PPR Taman Muhibbah, PPR Sungai Manila, PPR Batu Sapi, PPR Gum-Gum dan PPR Batu Putih.

Turut hadir Komander Esscom, DCP Datuk Victor Sanjos, Ketua Pegawai Eksekutif Esscom, Datuk Dr. Jamaluddin Mohd Ali dan Timbalan Presiden I Majlis Perbandaran Sandakan, Wilson Terence Thomas.

Selepas itu, Dr. Joachim berkesempatan mengedarkan bendera negeri Sabah kepada pemandu kenderaan di Lapangan Terbang bagi sambutan Hari Sabah pada 31 Ogos ini.

RELATED ARTICLES
Utama

JUM bantu usahawan muda Membakut tahun depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular