HomeUtamaSabah beri penekanan dalam pembangunan modal insan

Sabah beri penekanan dalam pembangunan modal insan

Read Time:2 Minute, 48 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan negeri memberi penekanan dalam pembangunan modal insan agar dapat melahirkan sumber tenaga yang berpengetahuan dan berkemahiran serta berdaya saing selain mempunyai jati diri yang menjadi aset penting kepada kemajuan kehidupan sejagat.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bagi tujuan itu sebanyak RM33 juta diperuntukkan pada tahun ini bagi memperkukuhkan lagi pembangunan modal insan terutama kursus dan latihan berkaitan kemahiran sains, teknologi dan inovasi.

Katanya, sebanyak RM12.92 juta lagi diperuntukkan untuk pelaksanaan kursus-kursus dan penyelidikan di institut pertanian di negeri ini.

“Kerajaan negeri sentiasa menyokong dan memberi bantuan kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) termasuk dari aspek kewangan bagi membolehkannya menjalankan aktiviti penyelidikan yang berdaya saing.

“Selain ianya juga dapat membangunkan pengetahuan, menggalakkan inovasi, mengeluarkan produk bernilai tinggi, nilai untuk didagang serta meningkatkan imbangan dagangan yang lebih menguntungkan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Anugerah Excocipta 2024 sempena Ekspo Kecemerlangan Rekacipta (EXCOCIPTA) 2024 UMS di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2,UMS di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.

Hajiji berkata, para akademia iaitu penyelidik harus memastikan segala penyelidikan dan inovasi yang dihasilkan menjadi penentu sesebuah universiti itu terus relevan atau sebaliknya.

Katanya, penyelidikan yang dilaksanakan harus mengambil kira faktor-faktor signifikan seperti relevan, realistik dan mampu menyelesaikan permasalahan masyarakat dan negara.

“Sebagai institusi ilmu yang bukan sahaja memiliki para cerdik pandai atau sarjana yang berupaya mendidik insan berkualiti tinggi yang mampu memenuhi tuntutan pasaran dan industri, UMS juga harus mampu membina gagasan dan idea bermakna bagi memimpin negara menyelesaikan pelbagai permasalahan semasa,” katanya.

Hajiji berkata, inovasi yang dihasilkan oleh para penyelidik diharap dapat membantu memacu pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat dan negeri Sabah.

Menurutnya, kerajaan negeri mengalu-alukan aktiviti penyelidikan dan inovasi UMS dalam bidang pertanian, akuakultur, bioteknologi dan tenaga boleh diperbaharui, kerana Sabah sendiri mempunyai sumber alam yang banyak dalam bidang berkenaan yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi membangunkan sumber ekonomi yang baharu.

Dalam usaha meningkatkan lagi penyelidikan di negeri ini, beliau menyarankan para penyelidik mengadakan penyelidikan yang menggabungkan pelbagai bidang, menjalin kolaborasi dengan komuniti setempat dan pihak industri.

“Saya berharap agar universiti terus menyemarakkan budaya penyelidikan dalam kalangan akademianya dan dibawa ke luar iaitu kepada masyarakat misalnya ke sekolah.

“Langkah ini juga sejajar dengan saranan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan agar para saintis turun ke 100 buah sekolah khasnya sekolah pinggir bandar dan luar bandar setiap bulan bagi mengadakan program pendedahan berkaitan sains,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, inisiatif bagi mewujudkan budaya penyelidikan memerlukan suntikan semangat sama ada dalam bentuk pengiktirafan dan sumbangan berbentuk dana dan sebagainya.

“Persekitaran ini boleh diwujudkan jika warganya berpegang teguh kepada nilai perubahannya. Universiti adalah medan untuk menjalankan penyelidikan, tempat untuk mencipta inovasi dan kreativiti,” katanya.

Hajiji mengucapkan tahniah kepada UMS yang akan berusia 30 tahun pada bulan November tahun ini, menegaskan UMS sungguh istimewa di hati rakyat Sabah dan telah banyak menghasilkan inovasi menerusi penyelidikan para pensyarahnya.

“Inovasi berkenaan telah dikomersialkan, selain turut memenangi anugerah serta pengiktirafan di pelbagai peringkat serta telah membawa manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Menyentuh EXCOCIPTA 2024, beliau berharap kejayaan para pemenang akan menjadi pendorong untuk terus menghasilkan penyelidikan dan inovasi yang bermutu, sekali gus membawa penyelidikan ke peringkat antarabangsa dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Hajiji juga berharap UMS terus cemerlang dan sentiasa menjadi kebanggaan negeri dan negara, sejajar dengan slogannya ‘Leading Towards Innovative Societies’. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan Potong Berakhir Tragedi: Isteri Pemandu Maut di Lokasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular