HomeUtamaHala Tuju SMJ selari semangat gagasan Malaysia Madani - Hajiji

Hala Tuju SMJ selari semangat gagasan Malaysia Madani – Hajiji

Read Time:2 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus bergerak pantas mendokong dasar pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang selari dengan semangat gagasan Malaysia Madani, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, Malaysia Madani inginkan negara Malaysia terus membangun pesat, berperanan tinggi di peringkat global dan kembali menjadi negara yang dihormati lagi disegani.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri dengan penuh keyakinan, terus mara ke hadapan, melaksanakan hala tuju negeri dengan penekanan kepada beberapa sektor penting yang terdapat dalam Hala Tuju SMJ khususnya sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan.

“Alhamdulillah, ketiga-tiga sektor ini telah melonjakkan ekonomi negeri sehingga menarik pelabur ke Sabah sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan. Selain itu, kita turut memberi tumpuan untuk membangunan modal insan dan memperkasa kesejahteraan rakyat.

“Dengan dokongan jemaah kabinet negeri segala perancangan dan dasar-dasar dapat dilaksana, sesuai Dasar Hala Tuju SMJ yang menjadi asas kepada corak kemajuan dan pembangunan negeri Sabah”, katanya pada Majlis Himpunan Perdana Rakyat di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Ahad.

Majlis itu dihadiri oleh Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Hajiji berkata, Sabah menjadi tumpuan sebilangan pelabur dengan membawa nilai pelaburan mencecah RM12 bilion sejak 2 tahun lalu, hasil berkat corak kepimpinan negara yang dinamik serta mesra pelabur sehingga Sabah secara langsung turut menikmati tempiasnya.

Beliau berkata, beribu-ribu peluang pekerjaan dapat ditawarkan kepada anak-anak Sabah hasil kemasukan pelabur domestik dan asing sehingga Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) telah penuh, sekali gus memerlukan Kerajaan Negeri mencari dan mengenal pasti taman perindustrian yang baharu bagi memenuhi keperluan dan kepesatan sektor perindustrian di negeri ini.

“Nilai pelaburan ini dijangka akan meningkat lagi pada tahun-tahun mendatang, kerana banyak lagi pelabur tempatan dan asing yang menunjukkan minat untuk datang melabur ke Sabah”, katanya.

Hajiji berkata, hasil kerjasama yang akrab antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat, Sabah berjaya mengikat kerjasama strategik dengan PETRONAS dengan termeterainya perjanjian Commercial Collaboration Agreement (CCA) yang memberikan banyak peluang dan manfaat kepada Sabah, seperti penyertaan lebih besar dalam usahasama penerokaan minyak dan gas di Sabah.

Mengenai isu miskin tegar yang dekat di hati PM, beliau berkata Kerajaan Negeri bertekad menangani isu itu dengan tuntas, menerusi pendekatan segera menawarkan pekerjaan kepada golongan berkenaan yang melibatkan penyertaan beberapa agensi kerajaan, GLC, pihak swasta termasuk para pelabur.

“Langkah proaktif ini telah berjaya menurunkan jumlah miskin tegar di Sabah kepada hanya 1,147 Ketua Isi Rumah (KIR) setakat Julai tahun ini.

“Pendekatan agresif ini akan terus kita laksanakan bagi menoktahkan kemiskinan tegar di Sabah. Namun, ini adalah miskin tegar. Tetapi bilangan rakyat yang termasuk dalam kategori miskin masih ramai di Sabah yang memerlukan pembelaan berterusan daripada Kerajaan Negeri dan Persekutuan”, tegasnya.

Katanya, melalui usaha yang berterusan dan agresif bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi, kerajaan akan menerokai sumber-sumber baru sebagai tambahan kepada sumber sedia ada.

“Untuk itu, Kerajaan Negeri sedang menerokai potensi Ekonomi Biru (Blue Economy) iaitu penerokaan khazanah laut sebagai sumber ekonomi baharu dan lain-lain produk industri yang boleh dihasilkan daripadanya.

“Negeri Sabah yang dikelilingi oleh Laut Cina Selatan, Laut Sulu dan Laut Celebes, berpotensi tinggi untuk penerokaan dan pembangunan Ekonomi Biru. Pada Oktober nanti, Kerajaan Negeri akan menganjurkan seminar bertaraf antarabangsa berkenaan “The Blue Economy”, yang dijangka akan dilancarkan oleh PM”, katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular