HomeUtama40 pelajar cemerlang SPM bakal terima ABCNS esok

40 pelajar cemerlang SPM bakal terima ABCNS esok

Read Time:1 Minute, 32 Second

Kota Kinabalu : Seramai 40 pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini akan menerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) iaitu pengiktirafan tertinggi dalam pendidikan di Sabah.

Anugerah ABCNS bagi siri ke-35 itu akan disampaikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini esok.

Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar berkata, ABCNS melambangkan komitmen padu Kerajaan Sabah melalui Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) untuk memupuk pendidikan berkualiti, memperkasakan generasi muda dan mengasah bakat pelajar cemerlang Sabah.

Katanya, ABCNS juga merupakan inisiatif Kerajaan Sabah dalam memberikan dorongan serta motivasi kepada pelajar cemerlang agar konsisten mencapai keputusan yang baik dalam semua bidang.

“Kami mengakui bahawa generasi akan datang mewakili aset terbesar negara. Oleh itu, untuk mengekalkan kemajuan dan kemakmuran yang kita nikmati hari ini, kita mesti menyalurkan usaha kita ke arah melengkapkan kumpulan ini dengan pengetahuan dan kemahiran penting untuk mewujudkan generasi masa depan yang seimbang.

“Pada ketika ini ramai penerima ABCNS telah menamatkan pengajian mereka, manakala ramai lagi yang masih mengejar matlamat akademik mereka.

“Kepada semua penerima anugerah, semoga kecemerlangan anda terus bersinar. Semoga pencapaian ini membangkitkan rasa rendah diri dan bukannya sekadar berpuas hati.

“Walaupun kita telah meraikan kejayaan, adalah penting untuk diingat kejayaan lampau tidak menjamin kejayaan masa hadapan. Kekalkan ketekunan dan sentiasa proaktif demi kejayaan berterusan,” katanya.

Gulamhaidar berkata, KYS telah merealisasikan misinya dalam meningkatkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia di Sabah sejak penubuhannya hampir enam dekad lalu.

Katanya, sejak itu, KYS telah bergerak ke hadapan dan kekal teguh, menokok tambah pelbagai usaha Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam membangunkan negeri ini, khususnya dalam aspek pendidikan.

Pada majlis itu juga Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah juga akan menyampaikan Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah (BCKNS) kepada 40 orang penerima dan lapan penerima Anugerah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS). – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

518 kes pokok tumbang berlaku di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular