KOTA KINABALU: Membaca, memupuk mentaliti positif ke arah pembelajaran, resepi kejayaan Razmin Mustapha dari Sekolah Menengah Sains, Lahad Datu memperolehi keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang diumumkan awal Julai lalu.
Razmin 18, anak sulong dari dua beradik berasal dari Kampung Damai, Semporna berkata, selain mencari cara tersendiri yang paling efektif untuk berjaya dalam SPM, dia juga mendapat sokongan yang kuat daripada kedua ibubapanya.
“Cara yang paling berkesan untuk saya belajar iaitu membaca dan memupuk mentaliti positif ke arah pembelajaran.
“Selain itu, dorongan ibubapa adalah amat mantap, mereka banyak membelikan saya supplement (makanan tambahan) sehingga saya memperoleh 9A dalam keputusan peperiksaan SPM ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah (BCKNS) Siri Ke-35 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Selasa.
Razmin antara penerima anugerah BCKNS yang disampaikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor hari ini.
Dilahirkan sebagai anak seorang petani tidak pernah mematahkan semangat Razim untuk terus belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya.
“Bapa saya seorang petani, emak saya hanya suri rumah, justeru itu, selepas ini saya ingin mengubah nasib keluarga saya menjadi lebih baik,” katanya.
Razim yang bercita-cita ingin menjadi seorang doktor perubatan berhasrat akan mencurahkan khidmat baktinya di kampung halamannya sendiri.
“Saya sekarang menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam jurusan Asasi Sains.
“Harapan saya selepas menamatkan pembelajaran saya berhasrat membuka sebuah klinik di Semporna dan berkhidmat kepada komuniti saya dan negara ini,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan kepada pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM tahun ini agar tidak bersaing kepada rakan-rakan seperjuangan yang lain tetapi menempah kejayaan bersama-sama.
“Nasihat saya kepada pelajar-pelajar SPM tahun ini,
Pertama mencari cara paling efeftik cara kamu belajar,
kedua memupuk mentaliti positif ke arah pembelajaran dan ketiga saya saran adik-adik agar tidak bersaing dengan rakan-rakan lain tetapi ingin mencapai kejayaan bersama-sama,” tegasnya.
Sementara itu, pada majlis sama, Faith Ethel Daimol Ganggot, 18, salah seorang penerima BCKNS dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli turut berkongsi rahsia kejayaannya.
Faith yang juga anak seorang petani dari Kg Nadau Kiulu Tuaran itu memperolehi keputusan cemerlang 10A dalam peperiksaan SPM 2023.
“Sebenarnya tiada rahsia, tetapi berdoa kepada Tuhan sebelum belajar, menghormati guru semasa belajar dan paling penting mesti ikhlas semasa belajar, maksudnya kita belajar bukan semata-mata untuk mendapat nama sahaja tetapi untuk kebaikan diri sendiri atau membentuk karakter kita,” kongsinya kepada pemberita.
Menurutnya, cara belajar yang paling berkesan untuknya iaitu fokus semasa sesi pembelajaran di dalam kelas.
“Kalau saya, saya fokus semasa di kelas saja dan paling lewat belajar sehingga jam 11 malam,” katanya.
Anak sulong dari empat beradik itu bercita-cita ingin menjadi seorang guru dan merancang akan menyambung pengajian ke Universiti Teknologi Mara (UITM) di Sarawak dan mengambil jurusan Diploma Pengurusan Teknologi.