Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyasarkan untuk membawa pulang 20 pingat emas selain bertekad untuk menjadi juara keseluruhan pada temasya Sukan Kakitangan Universiti Malaysia (SUKUM) kali ke-45 tahun ini.
Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, pihaknya turut berbangga dengan pasukan UMS yang masih mempertahankan kejuaraan yang dimenangi sebelum ini.
Katanya, pihaknya yakin dan percaya bahawa pingat emas pasti akan diraih menerusi beberapa acara yang dipertandingkan.
“Antaranya pasukan bola tampar wanita yang merupakan juara bertahan yang telah berjaya mempertahankan pingat emas sebanyak 11 kali dan pasukan futsal wanita (empat kali juara SUKUM).
“Selain itu, atlet olahraga kita yang berjaya mendapat pingat emas dan perak setiap tahun dan insya-Allah, acara olahraga kali ini akan menuai lebih banyak pingat emas.
“Kita juga bangga dengan pencapaian kakitangan kita yang memenangi Pingat Gangsa pada temasya Sukan Sea Vietnam pada tahun 2022,”‘ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat dan Penyerahan Bendera Kontinjen UMS sempena temasya SUKUM kali ke-45 di sini semalam.
UMS akan menghantar 213 atlet; 26 pegawai dan akan menyertai 23 acara yang dipertandingkan.
Temasya SUKUM itu akan bermula di UMS pada 8 hingga 16 Ogos 2024 dan perasmian pembukaan dijangka akan disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Stadium UMS Sabtu ini.
Dr Kasim berkata, SUKUM merupakan kejohanan Sukan Kakitangan Universiti Malaysia yang dinantikan setiap dua tahun sekali.
“Saya difahamkan, UMS pernah menjadi tuan rumah SUKUM buat pertama kali pada tahun 2003, yakni 21 tahun yang lalu. Dan kini, ia kembali lagi ke UMS pada tahun ini.
“Selaku tuan rumah, sudah pasti kita telah mengadakan latihan pusat dan akan menyertai semua acara serta menghantar sebanyak mungkin atlet untuk bertanding.
“Selaku hos dan bermain di tempat sendiri akan memberi banyak kelebihan kepada kita,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Kasim turut berharap agar penganjuran SUKUM dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan hubungan sosial dalam kalangan pegawai dan atlet selain untuk mencapai kemenangan. – SABAH MEDIA