HomeUtamaBBP Putatan terima pelawat pertama, KMJG 2024 teruskan konvoi ke beberapa daerah

BBP Putatan terima pelawat pertama, KMJG 2024 teruskan konvoi ke beberapa daerah

Read Time:1 Minute, 53 Second

Putatan : Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan menerima kunjungan dan pelawat pertama daripada peserta konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) di sini semalam.

Konvoi yang diketuai Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Nor itu tiba di BBP Putatan pada jam 1.30 petang.

Rombongan KMJG itu disambut Ketua BBP Putatan Nor Sherryana Bohari serta Pegawai Operasi, Zainuddin Saidi.

Kenderaan pertama yang melepasi gimik semburan air dalam acara pelepasan konvoi KMJG ke destinasi seterusnya.

BBP Putatan telah dirasmikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada 25 Julai lalu dengan kekuatan anggota BBP berkenaan seramai 32 anggota.

Selain menandatangani Buku KMJG 2024 dan acara  bergambar bersama anggota BBP, para peserta konvoi juga diberi peluang menyahut cabaran mencuba tiang gelongsor dalam acara khas ‘sliding challenge’, selain diperlihatkan gimik pemadaman api oleh anggota BBP.

Paling menarik perhatian, pelepasan konvoi KMJG 2024 ke hentian seterusnya disertai dengan gimik semburan air dengan pili bomba oleh anggota BBP.

Konvoi seterusnya menuju ke destinasi terakhir pada hari pertama iaitu Dewan Sri Putatan bagi melengkapkan perjalanan sejauh 45 kilometer di lima lokasi perhentian di dua daerah iaitu Penampang dan Putatan.

Peserta konvoi bergambar kenangan bersama hadirin yang hadir.

Konvoi KMJG itu tiba di Dewan Sri Putatan pada jam 2.45 petang dan disambut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Datuk Sahari serta Pegawai Daerah Putatan, Masawi Salleh.

Ketibaan konvoi dirai dengan Persembahan Sambut Tamu Pencak Silat daripada Kelab Silat oleh Raga Selendang Hijau, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petagas.

Acara dimulakan dengan nyanyian lagu, “Negaraku” dan “Sabah Tanah Airku” diikuti bacaan ikrar Rukun Negara.

Terdahulu, pelepasan konvoi yang dimulakan di Dataran Majlis Perbandaran Penampang dan SMK Limbanak menjadi lokasi pertama persinggahan konvoi berkenaan sebelum singgah ke lokasi seterusnya iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah.

Konvoi meninggalkan Dewan Sri Putatan selepas acara pelepasan.

Konvoi disertai seramai 60 peserta termasuk petugas media melibatkan 18 buah kenderaan daripada 14 Jabatan yang dilancarkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di perkarangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), pada 1 Ogos lalu.

Hari ini KMJG 2024 akan meneruskan penjelajahan ke Papar, Beaufort, Membakut, Kuala Penyu, Sipitang  seterusnya akan ke Pedalaman Atas, Pantai Timur Sabah, Pantai Barat Utara sebelum berakhir di Pantai Barat Selatan membabitkan jarak 2,400km selama 20 hari.

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

Bursa Malaysia dibuka tinggi dipacu prestasi Wall Street

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular