Keningau: Orang ramai khususnya di daerah ini dipelawa untuk hadir memeriahkan pertandingan Juara Lagu Keningau FM yang akan berlangsung malam esok bertempat di Dewan Masyarakat Keningau bermula 7 malam
Pertandingan yang diadakan secara dwitahunan bermula tahun ini diterbitkan Stesen Penyiaran Keningau FM sejak 2014.
Pengarah Penyiaran Sabah Salmah Hashim berkata, sebanyak sembilan buah lagu bakal dipertandingkan dengan objektif bagi memberi peluang kepada lagu-lagu tempatan di daerah Pedalaman untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Selain itu katanya, ia juga memberi pengiktirafan kepada usaha penggiat seni khususnya dalam bidang nyanyian.
“Juara lagu Keningau FM akan menampilkan gubahan muzik dan lirik terbaik hasil karya pengiat seni di kawasan pedalaman.
“Pencalonan diperoleh daripada lagu-lagu berbahasa Melayu, Dusun dan Murut yang telah mendapat kekerapan undian terbanyak menjadi Juara Mingguan dalam Carta Lagu terbitan setiap unit sepanjang dua tahun.
“Tiga buah lagu daripada 10 buah lagu yang dicalonkan dipilih bagi setiap kategori untuk dipertandingkan bagi merebut gelaran Juara Lagu untuk setiap kategori,” katanya dalam kenyataan di sini.
Salmah berkata, juara untuk setiap kategori bakal memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM5000 dan pemenang kategori persembahan terbaik, vokal terbaik dan lirik terbaik akan membawa pulang wang tunai RM1,000.
Katanya, pertandingan kali ini akan disiarkan secara langsung di stesen radio Keningau FM dan SABAHVfm serta turut dirakam untuk siaran RTMKlik.
Turut memeriahkan pertandingan ini ialah persembahan daripada Juara Carta Lagu SabahVfm dan juga merupakan Finalis Bintang RTM 2024 Eylia Guntabid serta artis yang tular dengan lagu Sumiloh Poh Bulan, Sitipah Jahamin. Selain, persembahan tarian oleh Kelab Budaya D’Olumis Keningau dan iringan muzik oleh KMG Band.
Buat julung kalinya, penganjuran JUARA LAGU Keningau FM ini turut mendapat kerjasama dan tajaan Kerajaan Negeri Sabah.
Majlis dijangka dihadiri oleh Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah merangkap ADUN Bingkor Datuk Robert Tawik yang mewakili Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Jeffry Kitingan. – SABAH MEDIA