HomeSukanSUKMA 2024 : Ganjaran wang tunai bakal menanti skuad bola sepak lelaki...

SUKMA 2024 : Ganjaran wang tunai bakal menanti skuad bola sepak lelaki Sabah

Read Time:1 Minute, 20 Second

Kota Kinabalu : Ganjaran wang tunai sehingga RM30,000 bakal menanti skuad bola sepak lelaki Sabah sekiranya berjaya membawa pulang pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak yang akan membuka tirai 17 Ogos ini.

Perkara itu dinyatakan sendiri Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Dr Ruddy Awah selepas menghadiri Majlis Makan Malam pasukan Bola Sepak SUKMA lelaki di sini semalam.

Ruddy berkata, selain ganjaran bagi pingat emas, pihaknya juga akan turut memberikan insentif sekiranya pasukan Sabah berjaya meraih pingat perak atau pun gangsa. 

“Seperti mana yang saya nyatakan dalam amanat saya kepada mereka, saya menjanjikan apabila mereka membawa balik pingat emas pada SUKMA di Sarawak pada kali ini, saya sendiri akan mengeluarkan dana peribadi saya, atas kegembiraan saya, kesyukuran saya kepada mereka, saya akan bagi RM30,000 apabila mendapat emas.

“Dan sekiranya mereka mendapat pingat Perak, kita akan bagi RM20,000 dan jika mendapat gangsa juga kita bagi RM10,000. Malahan ketibaan mereka memang kita sambut,” katanya.

Ruddy yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, Sabah akan berusaha untuk memenangi pingat emas dalam kejohanan tersebut.

Katanya, pihaknya akan memastikan pasukan Sabah melakukan yang terbaik dengan menggunakan khidmat sebahagian besar pemain daripada pemain Sabah FC III.

Beliau juga yakin bahawa jurulatih pasukan, Jelius Ating dan penolong-penolong jurulatih mampu menggalas tugas yang diamanahkan dan seterusnya mengatur strategi pasukan menghadapi temasya sukan itu.

“Saya yakin dan percaya dengan ketua jurulatih yang berpengalaman, sudah pasti akan dapat membuat percaturan terhadap para pemain untuk mempastikan bahawa sekurang-kurangnya Sabah akan membawa pulang pingat pada temasya SUKMA yang berlangsung di Sarawak pada kali ini,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

Sabah sentiasa cakna terhadap pembangunan belia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular