HomeUtamaAplikasi 'Sabah Smart Parking' di bandaraya Kota Kinabalu bakal digunakan 16 Oktober...

Aplikasi ‘Sabah Smart Parking’ di bandaraya Kota Kinabalu bakal digunakan 16 Oktober depan

Read Time:1 Minute, 53 Second

Kota Kinabalu : Sistem pembayaran tempat letak kereta secara digital bakal digunakan sepenuhnya di sekitar bandaraya Kota Kinabalu bermula 16 Oktober depan menerusi aplikasi ‘Sabah Smart Parking’.

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, sistem itu adalah bagi menggantikan sistem kupon fizikal (kupon gores) yang telah beroperasi sejak 10 tahun yang lalu.

“DBKK akan mewujudkan sistem aplikasi tempat letak kereta pintar di bandaraya Kota Kinabalu bagi menggantikan sistem letak kereta berkupon sedia ada yang telah beroperasi sejak 10 tahun yang lalu.

“Maka pada hari ini (semalam) dimaklumkan bahawa aplikasi tempat letak kereta digital yang dikenali sebagai aplikasi ‘Sabah Smart Parking’ akan mula dilaksanakan berkuatkuasa pada 16 Oktober depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pra Pelancaran Aplikasi ‘Sabah Smart Parking’ di sini semalam.

Sabin berkata, aplikasi ‘Sabah Smart Parking’ itu diperkenalkan adalah sebagai langkah pendigitalan dalam pengurusan perkhidmatan di bandaraya Kota Kinabalu.

Katanya, ia secara tidak langsung menyahut seruan atau aspirasi  kerajaan  Negeri  yang  menuju  ke  arah  pembudayaan  dan pembangunan pendigitalan di setiap perkhidmatan.

“Perasmian Aplikasi ‘Sabah Smart Parking’ ini merupakan satu lagi bukti komitmen berterusan DBKK dalam meningkatkan mutu perkhidmatan awam dan seterusnya memudahkan urusan orang ramai yang menggunakan ruang tempat letak kereta awam di Bandaraya ini. 

“Permintaan masyarakat bandaraya untuk mewujudkan ‘Aplikasi Sabah Smart Parking’ ini juga mendorong DBKK untuk memenuhi permintaan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Sabin berkata, pemilihan nama ‘Sabah Smart Parking’ adalah mengambil kira bandaraya Kota Kinabalu sebagai Ibu negeri dan Pusat Pentadbiran bagi negeri Sabah.

“Dibawah Pengurusan DBKK Holdings, Aplikasi ini akan beroperasi di semua kawasan tempat letak kereta awam yang berada dibawah bidang kuasa DBKK.

“Pada umumnya aplikasi ini menampilkan geolokasi telefon pintar untuk membantu pengguna membuat pembayaran kadar caj letak kereta di sesebuah kawasan. 

“Disamping itu juga ianya turut menyediakan perkhidmatan yang lain seperti pengguna boleh membuat semakan tunggakan kompaun, pembelian Pas Parkir bulanan dan lain-lain,” katanya.

Dalam pada itu, Sabin berkata, pihaknya juga memberi jaminan kepada pengguna yang masih mempunyai kupon fizikal (kupon  gores) dimana penggunaan  kupon itu masih boleh digunakan sehingga Kupon pengguna habis digunakan. 

“Secara objektifnya sistem kupon letak kereta ini akan diganti sepenuhnya dengan Sistem Aplikasi Sabah Smart Parking di masa akan datang,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

Capital A Hantar Pelan Pemulihan kepada Bursa Malaysia untuk Keluar dari...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular