HomeEkonomiKerajaan alu-alukan penglibatan swasta bantu laksana projek pembangunan

Kerajaan alu-alukan penglibatan swasta bantu laksana projek pembangunan

Read Time:3 Minute, 25 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan penglibatan pihak swasta untuk turut sama membantu kerajaan melaksanakan projek-projek pembangunan.

Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, dengan adanya penglibatan pihak swasta, beban kewangan kerajaan dapat dikurangkan dan sumber-sumber kewangan yang ada dapat digunakan untuk membiayai pembangunan sosioekonomi dan infrastruktur lain demi kesejahteraan rakyat.

Selain itu, katanya, ia juga merupakan kaedah bagi membantu agensi kerajaan seperti Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) memperkukuhkan sumber kewangan sekaligus membuka peluang untuk melebarkan kepakaran dalam bidang pembangunan hartanah.

“Kerajaan negeri berusaha untuk memacu pembangunan negeri ke tahap yang lebih tinggi sejajar dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Dalam konteks ini, kita yakin bahawa dengan kerjasama yang jitu di antara Kerajaan Negeri dan agensi-agensi kerajaan khususnya LPPB serta dengan sokongan sektor swasta, kita berupaya untuk melaksanakan pelbagai agenda pembangunan untuk kepentingan negeri dan rakyat.

“Fokus dan pendekatan yang strategik adalah amat penting untuk melonjakkan pembangunan dan kedudukan Sabah,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah bagi Projek Pembangunan Bercampur LPPB – 88 Avenue di Kepayan Ridge, di sini, hari ini.

Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yakin pembangunan projek 88 Avenue ini akan menjadi mercu tanda masyarakat Kepayan dan sekitar Bandaraya Kota Kinabalu kelak.

“Ini menjadi lambang kerjasama baik antara pihak kerajaan dan swasta dalam merealisasi pembangunan Sabah,” katanya.

Projek pembangunan bercampur ini melibatkan pembinaan lima blok apartment berkos tinggi dan mampu milik.

Pembangunan ini juga akan melibatkan pembinaan sebuah pasaraya yang lengkap dengan kemudahan dan perkhidmatan, memudahkan para pemilik rumah dan masyarakat sekitar untuk mendapat keperluan dan perkhidmatan yang terbaik.

“Berdasarkan perincian ini, pembangunan seumpama ini sudah pasti berupaya menyediakan pelbagai kategori perumahan kepada masyarakat di sini mengikut keperluan dan kemampuan. Bagi yang mencari rumah tidak perlu pergi jauh di sini Market 88 Kepayan Ridge sudah ada, dekat lagi dengan KK.

“Projek ini akan dibangunkan secara usaha sama di antara pihak swasta dan LPPB. Konsep ini diamalkan bagi mewujudkan kerjasama positif yang bermotifkan pembangunan holistik yang membawa faedah dan kebaikan kepada semua pihak.

“Contoh yang jelas ialah majlis kita pada hari ini adalah satu pakatan strategik antara LPPB, sebagai agensi kerajaan di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, dengan Megacity Builder Sdn. Bhd. selaku badan swasta dan korporat di Sabah. Dalam pakatan strategik ini LPPB bertindak sebagai pemilik tanah, manakala Megacity Builder pula berperanan sebagai kontraktor pembiaya.

“Antara peranan kontraktor pembiaya di sini adalah untuk mereka bentuk dan membina projek perumahan ini dengan kewangan mereka sendiri. Usahasama yang ditunjukkan antara pihak LPPB dengan Megacity Builder merupakan sesuatu yang amat membanggakan kerana ia menjadi landasan memenuhi visi untuk menjadikan Kepayan Ridge sebuah kawasan yang maju bercirikan pembangunan fizikal terancang, moden dan seimbang,” ujarnya.

Dr. Joachim turut mengingatkan LPPB dan Megacity Builder agar sentiasa menjaga kualiti pembinaan rumah dan kedai agar bangunan yang ditawarkan kepada para pembeli boleh menjadi aset idaman yang berkualiti dan dapat memenuhi keperluan mereka, sejajar dengan pendekatan Malaysia Madani agar keperluan dan hak-hak rakyat dapat dipenuhi secara optimum.

“Segala perancangan dan perjanjian yang telah dimeterai mestilah dilaksanakan dengan teratur dan mengikut masa yang ditetapkan. Menjadi harapan saya dan kita semua pembangunan di 88 Avenue ini akan berjalan dengan mulus tanpa sebarang masalah dan disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

“Aspek lain perlu juga diberi perhatian khususnya aspek alam sekitar. Pengekalan dan pelestarian alam sekitar harus dijadikan wacana utama pembangunan ini. Keseimbangan pemeliharaan alam haruslah selari dengan pembangunan fizikal agar pembangunan kita hari ini boleh kita wariskan kepada generasi akan datang dengan keadaan yang baik,” katanya.

Turut hadir, Pembantu Menteri I dan II Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih dan Datuk Mohamad Hamsan Awang Supain; Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPBB), Datuk Masiung Banah; Pembantu Menteri Kewangan II merangkap ADUN Likas, Tan Lee Fatt; Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin; Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Dato’ Sri Dr. Sabin Samitah; Pengarah-pengarah Mega City Builder Sdn. Bhd, Datuk George Yong bersama Michael Chin; Pengarah Urusan WSG Group, Datuk Susan Wong Siew Guen; wakil Ketua Polis Daerah IPD Kota Kinabalu, DSP Janeve Sindih dan Pengarah Urusan LPBB, Rosemary AhPing.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah tuan rumah ATE 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular