HomeUtamaSabah negeri ketiga tertinggi catat penyakit filariasis

Sabah negeri ketiga tertinggi catat penyakit filariasis

Read Time:1 Minute, 50 Second

Beaufort : Sabah merupakan negeri ketiga tertinggi di negara ini mencatat jumlah penyakit filariasis atau lebih dikenali sebagai penyakit untut (kaki gajah) pada tahun lalu dan meningkat sehingga lima kali ganda pada tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Asits Sanna berkata, pada tahun lalu sebanyak 66 kes direkodkan melibatkan penyakit tersebut dan sebanyak 348 kes direkodkan pada tahun ini sehingga Jun lalu.

“Lima daerah yang endemik penyakit filariasis di Sabah pada tahun lalu adalah Beluran sebanyak 34 kes; Pitas (19), Beaufort (10), Tuaran (1) dan Kinabatangan (2).

Manakala pada  tahun  ini,  kes  mengikut  daerah  seperti Beluran sebanyak 276; Pitas  (155); Beaufort (17);  Tuaran (16) dan Penampang (2),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hari Kesedaran Filariasis peringkat negeri Sabah anjuran Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Beaufort di sini semalam.

Dr Asits berkata, penyebab filariasis limfatik adalah melalui cacing filaria yang disebarkan nyamuk Mansonia spp.(nyamuk di Sabah) yang menggigit individu yang telah dijangkiti dan membawa bersama cacing filaria kepada individu sihat lain.

Katanya, spesis cacing filaria yang terdapat di Malaysia ialah Brugia malayi dimana Cacing filaria dewasa hidup antara enam hingga lapan tahun dalam sistem saluran limfatik, menyebabkan kerosakan terutamanya pada bahagian kaki dan tangan, mengakibatkan untut (kaki gajah) dan hydrocele (pembengkakan skrotum).

“Filaria dewasa menghasilkan berjuta-juta mikrofilaria yang hidup dalam peredaran darah manusia dan ditularkan kepada individu lain melalui gigitan nyamuk.

“Justeru, bagi mengawal penularan penyakit ini, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperkenalkan Program Eliminasi Filariasis Limfatik Kebangsaan sejak tahun 2002 dengan mensasarkan Malaysia akan mencapai status eliminasi filariasis limfatik menjelang tahun 2020.

“Walau bagaimanapun, sasaran tersebut tidak tercapai dan telah dipinda kepada eliminasi menjelang tahun 2025,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Asits berkata, pihaknya menyeru kepada masyarakat di negeri ini khususnya yang tinggal di kawasan endemik filariasis untuk mengambil langkah bagi mencegah jangkitan filariasis limfatik.

Katanya, antaranya termasuklah memastikan rumah dan kawasan kejiranan bebas daripada tempat pembiakan nyamuk yang membawa penyakit filariasis.

“Mengelakkan gigitan nyamuk Mansonia dengan mengurangkan  aktiviti  malam  terutamanya  di  kawasan  luar bandar dan hutan selain memakai lengan panjang dan seluar panjang dan tidak memakai pakaian berwarna gelap,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JKNS

RELATED ARTICLES
Utama

518 kes pokok tumbang berlaku di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular