HomeUtamaPerpustakaan masih relevan, tetap di hati masyarakat - Arifin

Perpustakaan masih relevan, tetap di hati masyarakat – Arifin

Read Time:2 Minute, 21 Second

Oleh NORMIMIE.DIUN

KENINGAU: Program Minggu Perpustakaan 2024 merupakan agenda penting dalam kalendar perpustakaan kerana keupayaan program ini dalam menyatukan masyarakat di negeri ini.

Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi merangkap Exco Agama dan Exco Pendidikan Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, dalam era digital yang semakin pesat dan serba canggih ini, perpustakaan juga berfungsi sebagai ruang fizikal di mana orang ramai boleh berkumpul untuk menyertai pelbagai aktiviti literasi dan keseronokan membaca sama ada dalam kalangan kanak-kanak, remaja dan dewasa.

“Justeru, program-program yang dianjurkan Perpustakaan Negeri Sabah itu memudahkan interaksi bersemuka, membantu mengatasi pengasingan sosial dan menghidupkan semangat kekitaan dalam komuniti.

“Syabas dan tahniah kepada pengarah dan warga Perpustakaan Negeri Sabah kerana dapat melaksanakan program seumpama ini yang berpusat di Perpustakaan Cawangan Keningau pada tahun ini.

“Saya juga mengucapkan syabas dan tahniah perpustakaan seluruh negeri Sabah, di daerah-daerah kerana giat untuk memperkasa budaya membaca. Ini terbukti apabila setiap tahun lebih sejuta yang hadir berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah.

“Ertinya perpustakaan masih relevan walaupun ada wadah-wadah yang lain, perpustakaan tetap menjadi tempat di hati masyarakat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Minggu Perpustakaan 2024 Peringat Negeri Sabah di Auditorium Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Keningau di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah, Fatimah Abdillah.

Mohd Arifin diiringi Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah, Fatimah Abdillah (kiri) melancarkan penerbitan buku berkaitan etnik Murut.

Dalam program itu, Arifin turut menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Ketua-Ketua Komuniti di seluruh negeri Sabah dan turut melancarkan penerbitan sebuah buku berkaitan etnik Murut.

Mengulas lanjut mengenai program tersebut, Mohd Arifin berkata, selaras dengan tema “Perpustakaan Memperkasa Kehidupan”, pelbagai aktiviti telah dirancang sempena Minggu Perpustakaan pada tahun ini.

“Antaranya seperti Pertandingan Membaca, Aktiviti Cerita Berangkai, Apresiasi Sastera seperti Deklamasi Sajak dan Bengkel Penulisan Kreatif, Pertandingan Membaca Braille yang melibatkan Sekolah Pendidikan Khas, Pertandingan Membaca Berita, Scavenger Hunt dan Reading Challenge dalam Bahasa Cina dan Bahasa Inggeris serta pelbagai aktiviti lagi.

” Jelas sekali Perpustakaan Negeri Sabah bergerak pada landasan yang tepat sebagai sebuah pusat pengumpulan dan penyebaran maklumat  kepada seluruh lapisan masyarakat bagi memperoleh kemahiran, meneroka minat baharu serta mendapat maklumat yang tepat, pantas dan terkini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan dua buah Pusat Sains lagi akan diwujudkan di Perpustakaan Tawau dan Sandakan dijangkakan pelaksanaannya bermula pada hujung tahun ini.

“Setakat ini Pusat Sains yang pertama telah diwujudkan di Perpustakaan Cawangan Keningau dilaksanakan pada tahun lalu.

“Pewujudan Pusat Sains ini adalah salah satu cara kita untuk menambah lagi minat anak-anak kita kecenderungan dalam bidang Sains dan Teknologi.

“Saya sudah berhubung dengan Presiden Petronas baru-baru ini termasuk juga Ketua Petronas Sabah dan Sarawak, mereka memberikan makluman bahawa pada tahun ini kita akan memulakan mewujudkan Pusat Sains di Perpustakaan Cawangan Tawau dan Sandakan selepas itu kita akan memohon lagi untuk daerah yang lain secara berperingkat-peringkat, insya Allah,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tun Juhar banyak menyumbang kepada Sabah sepanjang tempoh perkhidmatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular