HomeUtamaPJN Sabah perlu dilengkapi peralatan canggih, kakitangan mencukupi

PJN Sabah perlu dilengkapi peralatan canggih, kakitangan mencukupi

Read Time:1 Minute, 48 Second

Kota Kinabalu : Pusat Jantung Negara (PJN) Sabah perlu dilengkapi dengan kelengkapan canggih termasuk bilangan kakitangan yang mencukupi  seperti mana yang terdapat di Hospital Jantung Sultan Idris Shah Serdang.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah merangkap Exco Kesihatan Negeri, Datuk James Ratib berkata, ia akan memudahkan lagi pesakit jantung di negeri ini mendapatkan rawatan dengan lebih berkesan selain mampu mengurangkan risiko kepada pesakit.

“Di Sabah ketika ini kita berhadapan dengan kekurangan fasiliti dan kakitangan khasnya doktor pakar jantung yang mampu menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pesakit jantung di negeri ini.

“Justeru, diharap pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khasnya kerajaan Persekutuan menyegerakan penyaluran peruntukan kepada PJN Sabah untuk melengkapkan fasiliti perubatan serta menambah kakitangan agar pesakit jantung dapat diberikan rawatan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mengadakan lawatan rasmi ke Hospital Jantung Sultan Idris Shah Serdang di sini hari ini.

James yang juga Exco Kesihatan Sabah berkata, pengumuman Perdana Menteri mengenai PJN Sabah baru-baru ini turut disambut baik Kerajaan Negeri dan ianya perlu dibina segera.

Ini kerana katanya, kos rawatan jantung bagi seorang pesakit menelan belanja yang tinggi apabila dirujuk ke pakar jantung di Semenanjung.

Dalam pada itu, James berkata, pihaknya turut menyarankan agar Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkaji semula gred jawatan bagi doktor-doktor pakar yang berkhidmat di negeri Sabah.

Katanya, ia adalah agar selari dengan jawatan yang dipegang bagi mengelak mereka keluar daripada perkhidmatan awam.

“Selaras dengan cabaran kesihatan semasa, gred jawatan bagi doktor pakar di Sabah juga perlu dikaji semula.

“Saya difahamkan gred jawatan bagi doktor pakar jantung di Sabah masih pada tahap UD 56 walhal bebanan tugas yang dijalankan amat berat,” katanya.

Pada April lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan ke Sabah telah mengumumkan Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2), dijenamakan semula sebagai PJN Sabah bagi memenuhi keperluan rawatan jantung di negeri ini.

Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM 80 juta untuk menarik taraf hospital berkenaan serta menambah tiga orang doktor pakar jantung dan 120 orang tenaga sokongan terlatih.

Terdahulu, dalam lawatan itu, James turut dibawa meninjau beberapa bilik rawatan jantung yang dilengkapi pelbagai peralatan canggih selain mendengar taklimat daripada beberapa doktor pakar di hospital tersebut. – SABAH MEDIA / FOTO KPMKR

RELATED ARTICLES
Utama

518 kes pokok tumbang berlaku di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular