KINABATANGAN: Seorang bayi lelaki maut manakala lima lagi cedera selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya kenderaan yang dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan lain di Jalan Kampung Paris 2, Kinabatangan tengah malam tadi.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 12.38 tengah malam tadi (14 Ogos).
“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, Komander Operasi (KO) melaporkan kemalangan melibatkan dua buah kenderaan, iaitu kereta Toyota Hilux bertembung dengan kereta Proton X50.
“Terdapat enam orang mangsa terlibat tersepit di dalam kereta (Proton X50) terbabit.
“Pasukan bomba bertindak keluarkan mangsa, seterusnya kesemua mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak Ambulan untuk dihantar ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Bagaimanapun, katanya, seorang mangsa bayi lelaki disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mayat bayi tersebut seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.15 pagi tadi,” katanya.