HomeUtamaDakwaan rumah di Kampung Pituru akan dirobohkan tidak tepat

Dakwaan rumah di Kampung Pituru akan dirobohkan tidak tepat

Read Time:1 Minute, 32 Second

Putatan: Dakwaan kononnya 63 buah rumah di Kampung Pituru, Sabindo, Lok Kawi di sini akan dirobohkan berdasarkan notis bancian yang diberikan pihak berkuasa baru-baru ini adalah tidak tepat.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, penduduk warga tempatan khususnya di kampung itu tidak perlu bimbang mengenai kedudukan mereka susulan notis berkenaan.

Katanya, notis yang dikeluarkan itu adalah bagi mengesan kediaman yang dihuni pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi tindakan lanjut pihak berkuasa, tanpa menjejaskan penduduk berstatus warga negara yang tinggal di kampung itu.

“Sebenarnya ada sedikit kekeliruan di situ. Apa yang dibuat adalah penyerahan notis dan pembancian berkenaan dengan penempatan setinggan daripada golongan pendatang tanpa izin.

“Jadi dalam hujung minggu ini sekali lagi Pejabat Daerah bersama beberapa agensi yang lain akan turun ke kawasan berkenaan untuk meneliti proses pembancian terbabit.

“Jadi bagi pendatang tanpa izin ia akan diberi notis untuk diarah pindah tetapi untuk yang lokal, mereka masih boleh bertahan di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai Kembara Merdeka peringkat daerah Putatan, di sini, hari ini.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya negeri diminta mengulas dakwaan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebelum ini yang antara lain menyebut 63 rumah di Kampung Pituru akan diroboh dan penghuninya diberi masa berpindah sehingga 4 September depan.

Difahamkan, Kampung Pituru adalah sebahagian daripada kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat dan Parlimen Putatan yang diwakili Shahelmey.

Bagaimanapun, pentadbiran daerah kampung terbabit terletak di bawah Pejabat Daerah Papar.

Mengulas lanjut, Shahelmey berkata, pihaknya akan berhubung rapat dengan Pejabat Daerah Papar berkaitan penempatan di kampung terbabit.

“Sebab Kampung Pituro belum lagi digazetkan sebagai kampung warisan walaupun kita telah menulis surat memohon supaya ia ditukar daripada rizab tepi pantai kepada kampung warisan.

“Tapi, sehingga hari ini kita belum dapat maklum balas dan itulah yang akan kita ‘follow up’ dari semasa ke semasa,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

518 kes pokok tumbang berlaku di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular