KOTA KINABALU: Pasangan suami isteri warga emas cedera selepas kenderaan yang dinaiki terbakar 100 peratus dalam kejadian yang berlaku di Taman Ria, dekat sini petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan bomba dari Balai Lintas bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 5.42 petang tadi.
“Sejurus tiba di.lokasi kejadian, komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Honda Jazz telah terbakar 100 peratus.
“Terdapat dua orang mangsa suami isteri berumur dalam lingkungan 60-an iaitu pemilik kenderaan berkenaan.
“Mangsa mengalami kecederaan dan telah di hantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba menjalankan pemadaman dan kebakaran dapat dikawal pada jam 5.59 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.50 petang tadi.