HomeUtamaTiada kompromi jika didapati ada unsur lengahkan projek pembangunan untuk rakyat -...

Tiada kompromi jika didapati ada unsur lengahkan projek pembangunan untuk rakyat – Hajiji

Read Time:2 Minute, 54 Second

Tuaran: Pegawai Daerah, Penolong Pegawai Daerah dan Presiden Majlis Perbandaran diingatkan agar melaksanakan tugas dan amanah dengan penuh integriti dan ketelusan, khususnya melibatkan pelaksanaan projek pembangunan untuk rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, mereka juga perlu memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Wakil-wakil Rakyat Kerajaan dan memaklumkan mengenai projek-projek pembangunan untuk rakyat yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan di kawasan masing-masing.

“Pegawai Daerah merupakan pegawai yang amat penting di daerah, perlu memberikan kerjasama kepada Wakil Rakyat Kerajaan dan jangan ‘tapuk’ (sembunyikan) maklumat terutama projek-projek pembangunan kerajaan.

“Wakil rakyat mungkin tahu dan maklum tentang projek pembangunan untuk rakyat daripada peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Parlimen. Tetapi projek lain daripada kerajaan, mereka tidak tahu.

Oplus_0

“Saya juga telah memanggil Pegawai Kemajuan Negeri dan memintanya memaklumkan kepada Wakil-wakil Rakyat projek dan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan yang disalurkan di kawasan dan daerah mereka. Ini kerana saya menerima aduan daripada Wakil-wakil rakyat bahawa mereka tidak dimaklumkan tentang perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah Kali Ke-27, Tahun 2024 di Grand Ballroom, Shangri-La Rasa Ria di sini hari ini.

Hajiji berkata, beliau menerima banyak aduan daripada orang ramai di beberapa daerah negeri ini berhubung ketidaktelusan atau integriti dikalangan Pegawai Daerah, Penolong Pegawai Daerah dan pegawai jabatan kerajaan terutama sekali melibatkan pelaksanaan projek-projek kecil untuk rakyat yang amat penting dalam usaha kerajaan untuk membasmi kemiskinan.

“Justeru saya berharap pihak terlibat mesti memberi tumpuan dan penekanan kepada aspek integriti dan ketelusan. Apa yang penting ialah kita permudahkan urusan-urusan mengenai pelaksanan projek-projek kecil, kerana rakyat amat memerlukan. Sebagai pegawai yang setiap masa berada di bawah, rakyat perhatikan kita.

“Kalau ada kekurangan atau ketirisan dalam pelaksanaan program-program kerajaan di daerah, maka kesan dan implikasinya akan diterima ialah Wakil-wakil Rakyat dan juga Kerajaan kerana rakyat akan kritik Wakil Rakyat dan Kerajaan.

“Kita perlu permudahkan urusan dengan rakyat apabila berjumpa dengan kita. Jangan kita lambat-lambatkan sesuatu kelulusan, bukan sahaja dalam pelaksanaan projek kecil, tetapi pengeluaran lesen-lesen dan sebagainya, kerana ini adalah soal kehidupan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, keberkesanan kerajaan bergantung kepada pegawai kerajaan khususnya Pegawai Daerah  dan Penolong Pegawai Daerah yang berada di lapangan kerana rakyat akan jumpa dengan mereka untuk pelbagai urusan.

“Jika sesuatu urusan boleh diselesaikan dalam masa yang singkat, jangan pula ambil masa terlalu lama sehingga satu atau dua bulan untuk selesaikan atau luluskan, kerana ini akan memberi impak negatif kepada kerajaan.

“Saya ingin mengingatkan bahawa saya tidak akan berkompromi, jika saya dapati ada unsur-unsur melengah-lengahkan pelaksanaan projek pembangunan untuk rakyat yang disengajakan, menyusahkan urusan dengan rakyat termasuk mengambil kesempatan untuk mencari keuntungan, dan mempunyai bukti yang nyata, saya akan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai-pegawai tersebut yang tidak melaksanakan tugas seperti yang diamanahkan dengan baik dan sempurna.

“Kerajaan mahukan kejayaan dalam pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, Tidak lama lagi kita akan menghadapi pilihan raya dan banyak lagi isu-isu yang perlu kita selesaikan yang bersangkutan dengan rakyat.

“Bukan sahaja Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah, tetapi semua pegawai kerajaan, sebagai pelaksana kepada kerajaan yang memerintah. Laksanakan tugas dengan baik, permudahkan. Saya berharap mereka bukan sahaja tingkatkan integriti, ketelusan tetapi kecekapan dalam mentadbir di pejabat-pejabat peringkat daerah, kementerian dan lain-lain,” katanya.

Terdahulu, mengenai persidangan itu, Hajiji yakin ia akan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini kerana skop perbincangan menjurus kepada mencari salusi untuk tadbir urus daerah yang mampan demi kepentingan rakyat. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

518 kes pokok tumbang berlaku di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular