HomeUtamaPemain bola sepak amatur tunjuk kerambit dipenjara

Pemain bola sepak amatur tunjuk kerambit dipenjara

Read Time:2 Minute, 16 Second

Kuala Lumpur: Seorang pemain bola sepak amatur yang gambarnya membawa kerambit tular di media sosial dipenjara 14 hari oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menunjukkan senjata tajam itu dalam perlawanan bola sepak, dua minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Nur Iman Shafie Mohd Sulin, 22, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan di hadapan Hakim Norina Zainal Abidin.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh sabitan hari ini.

Mengikut pertuduhan, peniaga nasi lemak itu didakwa menunjukkan senjata berbahaya iaitu kerambit di mana perbuatan itu dilakukan dengan sebegitu gopoh hingga membahayakan keselamatan diri orang lain. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pusat Bola Sepak KLFA, Wangsa Maju pada 12.45 tengah malam, 4 Ogos lalu. 

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda yang boleh sampai RM500 atau kedua-duanya. 

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang memakai jersi nombor tujuh itu menunjukkan senjata itu di padang pusat bola sepak berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latif memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh sebagai bentuk pengajaran dan tidak mengulangi kesalahan sama di masa hadapan. 

“Kes ini mendapat liputan masyarakat dan hukuman setimpal wajar diberikan kepada tertuduh bagi memberikan mesej yang jelas kepada masyarakat,” katanya. 

Bagaimanapun, peguam Muhammad Syawal Mohd Razak yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah dengan mengambil kira pelbagai faktor antaranya anak guam tidak mempunyai rekod jenayah dan wajar diberi peluang kedua untuk memperbaiki diri. 

“Dengan pengakuan bersalah ini, menjimatkan masa pendakwaan malah anak guam benar-benar insaf serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan ini. 

“Selain itu, anak guam memohon maaf dan mohon hukuman sebagai pengajaran,” katanya.

Dalam prosiding sama di hadapan Norina, Muhammad Nur Iman Shafie mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan khianat dalam kejadian di hadapan kelab hiburan di Jalan Yap Kwan Seng, Mei lalu.

Mengikut pertuduhan, dia bersama-sama dengan empat lagi yang telah dituduh didakwa melakukan khianat dengan api iaitu membaling empat botol yang dinyalakan dengan api ke arah sebuah kelab sehingga menyebabkan kerosakan pada bahagian hadapan kelab itu pada 2.17 pagi, 9 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum 14 tahun dan didenda jika sabit kesalahan.

Nidzuwan memohon mahkamah mengenakan jaminan RM15,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin manakala peguam Haziq Aizuddin Subhi mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya membantu keluarga selain memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.

Norina membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 25 September ini untuk serahan dokumen.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan  kes tular pemain bola sepak amatur kelihatan menggunakan objek tajam menyerupai kerambit dalam pergaduhan dipercayai semasa satu perlawanan liga sosial.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular