Kota Kinabalu: Hasrat Sabah FC untuk menambah seorang lagi pemain import bagi menajamkan jentera serangan pasukan diluluskan pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).
Presiden SAFA, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mendengar laporan yang dikemukakan Sabah FC mengenai perkara itu dan beberapa perkara lain berkaitan.
Menurutnya, usaha bagi memperkuat pasukan itu juga mengambil kira saranan penyokong Sabah FC dan peminat bola sepak Sabah keseluruhannya berhubung keperluan kelab berkenaan.
“Berikutan dengan itu kita telah meluluskan untuk menambah seorang pemain import untuk menajamkan jentera serangan. Setakat ini proses penilaian beberapa profil pemain penyerang yang dikemukakan beberapa ejen sedang dilakukan.
“Identiti pemain yang terpilih akan diumumkan secara rasmi sebaik saja proses pemilihan selesai. Pemain ini bakal didaftarkan apabila pintu perpindahan yang akan dibuka pada hujung Ogos,” katanya.
Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee sebelum ini menyuarakan keperluan untuk skuad Sang Badak mencari pengganti Ramon Machado yang meninggalkan pasukan bulan lalu.
Katanya, Sabah FC memerlukan khidmat penyerang baharu bagi membantu memperkuat serangan pasukan, khususnya untuk menghadapi saingan Liga Super.
Dalam pada itu, Shahelmey berkata, SAFA turut meluluskan lantikan Penolong Ketua Jurulatih Sabah FC dan pelantikan Alto Linus sebagai Ketua Jurulatih Sabah FC II (U23).
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah turut memberi maklum balas mengenai kedudukan pemain import dari Indonesia, Saddil Ramdani yang dikhabarkan bakal meninggalkan pasukan.
“Mengenai isu Saddil Ramdani, setakat ini belum ada kelab yang menghubungi Sabah FC berhubung perkara itu.
“Saya berharap pasukan kita akan mampu memperbaiki kedudukan di carta liga selepas ini dan menyeru kepada penyokong setia kita agar terus memberi sokongan padu kepada pemain Sabah FC,” katanya.