HomeSukanSUKMA 2024 : Kejayaan wushu semarak semangat pasukan lain raih pingat

SUKMA 2024 : Kejayaan wushu semarak semangat pasukan lain raih pingat

Read Time:1 Minute, 0 Second

Kuching: Kejayaan skuad wushu Sabah menamatkan saingan dengan tiga emas dan satu perak disifatkan sebagai penyemarak semangat kepada pasukan lain bagi memburu pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.

Ketua kontinjen Sabah, Datuk Mansur Asun berkata, pasukan wushu telah melaksanakan tugas dengan baik malahan melepasi satu emas yang disasarkan.

“Ini tentunya penyemarak semangat kepada pasukan lain dan saya harap petanda baik untuk Sabah mengutip lebih banyak pingat seterusnya merealisasikan buruan 40 pingat emas yang kita sasarkan,” katanya.

Pingat emas wushu dimenangi Amirah Sofea Azlan dalam acara sanda 45-48kg wanita, Dione (sanda 48-52kg wanita) dan Fyenlly Himon (sanda 48-52kg lelaki) manakala perak dimenangi Ericson Bong (toulu gunshu lelaki).

Semalam, Sabah turut meraih emas menerusi Sepak Takraw wanita berpasukan selain gangsa menerusi boling padang bagi pasukan berempat wanita yang dianggotai Adilah Juatine, Nur Zarifah Wajihah Zaidi, Nuremilda Jazeemi Jali dan Nurnajmi Jannah Jali.

Mereka menewaskan pasukan Kedah 10-7 pada penentuan pingat gangsa di Arena Boling Padang Petra Jaya, di sini.

Sehingga kini, Sabah telah memperoleh empat emas; satu perak dan dua gangsa.

Beberapa lagi pertandingan diteruskan hari ini sebelum upacara perasmian sukan dwi tahunan terbesar negara itu berlangsung pada sebelah malam di Stadium Sarawak, di sini. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

Sabah sentiasa cakna terhadap pembangunan belia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular