HomeIsu tempatanUMS perkukuh jalinan kerjasama dengan LJ Resources

UMS perkukuh jalinan kerjasama dengan LJ Resources

Read Time:2 Minute, 35 Second

Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuhkan jalinan kerjasama dengan pihak industri bagi memberi manfaat khususnya kepada pelajar UMS.

Terbaharu, UMS menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama LJ Resource Enterprise.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, kerjasama tersebut meliputi bidang penyelidikan, penerbitan, konsultasi dan projek komuniti untuk meningkatkan pengetahuan pelajar.

“Di samping itu, ia juga program latihan untuk memajukan kemahiran profesional serta perkongsian data dan bahan untuk tujuan akademik dan penyelidikan,” katanya.

Mengulas lanjut, Kasim berkata selain pendidikan formal, UMS komited untuk menyediakan latihan tambahan, kursus profesional, dan peluang pembangunan untuk pelajar dan masyarakat umum bagi membantu melengkapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan dengan industri.

“LJ Resources, sebuah syarikat penyedia latihan terkemuka di Labuan yang menunjukkan komitmen dalam memberikan latihan berkualiti tinggi.

“Syarikat ini diiktiraf oleh HRD Corp., Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), menunjukkan komitmen dalam industri latihan,” katanya.

Tambah Kasim, kerjasama tersebut akan menyatukan kekuatan serta kepakaran UMS bersama LJ Resources Enterprise yang akan memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak. 

Pemilik Tunggal Syarikat LJ Resouces Enterprise, Joanita Joseph berkata  MoU yang ditandatangani akan membuka ruang yang lebih cerah dan berinovatif bagi kedua-dua pihak. 

“Di LJ Resources Enterprise, kami sentiasa komited untuk memajukan piawaian keselamatan dan kesihatan pekerjaan. 

“Dedikasi kami dalam menyediakan latihan berkualiti tinggi dan perkhidmatan penilaian risiko telah menjadikan kami sebagai rakan kongsi yang dipercayai dalam industri ini.

“Kami berdaftar dengan DOSH, CIDB, EIMAS, dan HRD Corp, dan kami berbangga menawarkan pelbagai perkhidmatan, termasuk penilaian risiko bunyi (NRA), penilaian risiko ergonomik (ERA), penilaian risiko kesihatan kimia (CHRA), penilaian pengudaraan ekzos tempatan (LEV), dan penilaian risiko kesihatan (HRA) mengikut keperluan industri.

“Kerjasama kami dengan UMS adalah bukti kepada visi bersama kami untuk memupuk budaya keselamatan, inovasi, dan kecemerlangan akademik. MoU ini menandakan lebih daripada sekadar perkongsian, ia mewakili komitmen kolektif untuk merapatkan jurang antara akademia dan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UMS dan LJ Resources Enterprise di UMS. 

Tambah Joanita, melalui inisiatif penyelidikan bersama, persidangan kolaboratif, dan sesi latihan praktikal, mereka berhasrat untuk melengkapkan generasi profesional seterusnya dengan kemahiran dan pengetahuan yang mereka perlukan untuk cemerlang.

“Kerjasama ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada pelatih dan pelajar tetapi juga akan memberi kesan mendalam kepada industri di Labuan. Penyelarasan dalam penyelidikan akademik dengan keperluan industri akan memacu inovasi, meningkatkan daya saing perniagaan tempatan, dan menyumbang kepada pembangunan lestari ekonomi Labuan. 

“Untuk itu, bersama-sama kita mewujudkan platform yang kukuh untuk penglibatan industri yang lebih luas dan saya berharap perkongsian ini akan memupuk persekitaran di mana pengetahuan praktikal dan wawasan akademik bertemu, membawa kepada penyelesaian inovatif dan peningkatan piawaian industri.

“Saya yakin bahawa MoU ini akan membawa perubahan positif yang ketara untuk semua pihak yang terlibat. Ia akan memberi pengalaman praktikal yang tidak ternilai, memupuk budaya inovasi, dan menyumbang kepada pembangunan lestari industri dan komuniti,” katanya. 

Pada MoU tersebut, UMS diwakili oleh Kasim dan Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar, manakala LJ Resources Enterprise diwakili oleh Joanita dan Naib Presiden Persatuan Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Labuan (LOSPHA), Denis Empalah.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS usaha sebar luas pengetahuan berkaitan HIV AIDS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular