HomeUtamaJAKIM laksana beberapa inisiatif untuk imam, guru takmir dan KAFA

JAKIM laksana beberapa inisiatif untuk imam, guru takmir dan KAFA

Read Time:1 Minute, 26 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memperuntukkan sebanyak lebih RM67 juta setahun bagi melaksanakan beberapa inisiatif termasuk penyaluran imbuhan bulanan imam, elaun guru takmir, elaun bulanan guru KAFA dan bayaran khas secara sekali bayar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, jumlah peruntukkan setahun itu adalah bagi membiayai sebanyak 8,730 orang penerima.

Katanya, ia juga melibatkan caruman Perkeso di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan (SKSPS) bagi orang bekerja sendiri.

“Bagi imbuhan bulanan Imam adalah sebanyak RM850 berjumlah RM17,329,800 setahun melibatkan 1,699 orang penerima; elaun bulanan guru takmir sebanyak RM900 berjumlah RM4,546,800 setahun bagi 421 orang penerima.

“Selain itu, turut diberikan elaun bulanan guru KAFA sebanyak RM1,261.35 berjumlah RM37,689,138.00 setahun bagi 2,490 orang penerima dan bayaran khas sekali bayar sebanyak RM700 berjumlah RM6,111,000 setahun bagi 8,730 orang penerima.

“Turut diberikan adalah caruman PERKESO sebanyak RM232.80 berjumlah RM1,452,672 setahun bagi 6,240 orang penerima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Madani Ulama Dan Umara (JMUU) Peringkat Negeri Sabah 2024 di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di sini hari ini.

Majlis dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan diwakili Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa menghargai usaha-usaha yang telah dilakukan oleh para Murabbi Ummah dalam mengurus dan mengimarahkan masjid termasuk institusi pendidikan dengan tradisi ilmu dan aktiviti bagi memberi kefahaman Islam kepada masyarakat.

“Justeru itu, Kerajaan Persekutuan melalui (JAKIM) sentiasa meletakkan keutamaan untuk memperkasakan pembangunan dakwah serta kebajikan para Murabbi Ummah,” katanya. – SABAH MEDIA 

RELATED ARTICLES
Utama

Penunggang motosikal maut rempuh sisi kenderaan keluar simpang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular