HomePendapatPeluang ekonomi Melalui Kuasa Mengurus Sektor Pelancongan

Peluang ekonomi Melalui Kuasa Mengurus Sektor Pelancongan

Read Time:6 Minute, 59 Second

1.        Beberapa bulan lepas, telah berlaku sedikit pertelingkahan di antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Sabah mengenai pelaksanaan program Malaysia Rumah Kedua Ku/ Malaysia My Second Home (MM2H).

 2.       Antara lain, pertelingkahan tersebut melibatkan keputusan Kerajaan Sabah untuk meneruskan pelancaran program Sabah-MM2H tersendiri pada 30 Jun 2024. Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), program Sabah-MM2H berkenaan telah di lancarkan tanpa persetujuan MOTAC.

Namun begitu, pertelingkahan tersebut telah dapat di selesaikan.

3.        Pada pertengahan Julai 2024, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) telah memaklumkan bahawa Kerajaan Malaysia telah bersetuju menyerahkan kuasa penuh/ full authority kepada Kerajaan Sabah untuk menguruskan program MM2H di Sabah (Sabah-MM2H).

4.        Menurut beliau, dengan penyerahan kuasa penuh menguruskan program Sabah-MM2H berkenaan, Kerajaan Sabah:

  • boleh merangka terma & syarat tersendiri
  • tidak terikat kepada terma & syarat program Malaysia-MM2H
  • berkuasa untuk memproses permohonan dan mengeluarkan pas Sabah-MM2H kepada pemohon yang berjaya, serta penguatkuasaan

5.        Fakta menarik: Pada tahun 2002, Malaysia telah melancarkan program MM2H kepada warga asing untuk menetap di Malaysia sebagai rumah kedua. Dalam tempoh masa lebih 20 tahun, program MM2H telah berjaya menarik penyertaan ramai warga asing dari pelbagai negara. 

6.        Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) di laporkan berkata bahawa sehingga 31 Januari 2024, jumlah keseluruhan pemegang pas MM2H di Malaysia ialah 56,066 orang, merangkumi pemegang utama dan tanggungan/ keluarga.

Negara-negara utama adalah:

NegaraChinaAustraliaKorea SelatanJapanBangladeshUnited Kingdom
Jumlah24,7659,2654,9404,7333,6042,234
Peratusan44.2 %16.5 %8.8 %8.4 %6.4 %3.9 %

7.        Program MM2H merupakan salah satu daripada ‘produk pelancongan’ utama negara, yang mendorong pelaburan serta aliran masuk mata wang asing. Menurut laporan media, dalam tempoh masa 2002 – 2019, program MM2H telah berjaya menjana hampir RM 12 billion untuk ekonomi negara, meliputi: bayaran visa, simpanan tetap, perbelanjaan isi rumah, pembelian kenderaan dan hartanah.

8.        Malah, Presiden Real Estate and Housing Developers’ Association (REHDA) menjangka program MM2H terkini akan merangsangkan pembelian hartanah oleh pemegang pas MM2H. Seterusnya, pembelian hartanah bernilai tinggi di bawah program MM2H dapat mendokong pembinaan hartanah mampu-milik/ affordable housing di Malaysia. Ini kerana pemaju perumahan mengguna-pakai konsep cross-subsidy antara hartanah harga biasa/ normal dan mampu-milik.

9.        Sejak permohonan di buka pada 1 Julai 2024, program Sabah-MM2H telah menerima banyak minat dan maklumbalas dari warga asing dari pelbagai negara. Menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), dalam tempoh beberapa hari selepas pelancaran, ratusan permohonan untuk Sabah-MM2H telah di terima.

10.      Ini selari dengan laporan media di mana ramai yang tertarik dengan program Sabah-MM2H yang baru di lancarkan. Antara tarikan utama ialah jumlah deposit tetap yang jauh lebih rendah berbanding dengan program Malaysia-MM2H.

Sumber CNA @ 5 Julai 2024:

https://www.channelnewsasia.com/asia/malaysia-mm2h-visa-sarawak-sabah-retire-expat-4450991

11.      Sektor Pelancongan merupakan antara sektor ekonomi utama Sabah. Setiap tahun, sektor pelancongan merupakan penyumbang besar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah, selain kelapa sawit, minyak dan gas.

12.      Menurut laporan Akaun Satelit Pelancongan Wilayah Sabah 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sektor pelancongan Sabah telah berkembang pesat.

Dalam tempoh masa 22 tahun (2000 – 2022), jumlah ketibaan pelancong di Sabah telah meningkat dari 0.8 juta orang (2000) kepada 4.2 juta (2019), sebelum turun kepada 1.7 juta (2022) akibat kesan negatif pandemik Covid-19.

13.      Menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, pada tahun 2023, Sabah telah merekodkan jumlah pelancong sekitar 2.3 juta orang, dengan jumlah pulangan sebanyak RM 4.6 billion.

14.      Untuk tahun 2024, Kerajaan Sabah mensasarkan ketibaan pelancong seramai 3 juta orang. Antara Januari – Mac 2024, Sabah telah pun merekodkan seramai 776,845 pelancong, meningkat hampir 40% berbanding tempoh yang sama tahun 2023 (584,927 pelancong).

Untuk tempoh masa tersebut, Sabah di anggarkan telah menerima pulangan pelancongan sebanyak RM 1.75 billion, meningkatkan sebanyak RM 46.6% berbanding tempoh yang sama tahun 2023 (RM 1.19 billion).

Ketibaan pelancong asing utama merangkumi:

NegaraChinaKorea SelatanBruneiSingapuraEropah
Jumlah116,92255,93654,2667,83318,196

15.      Pada masa yang sama, sektor pelancongan Sabah menyediakan ratusan ribu peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah. Pada tahun 2022, sejumlah 427 ribu orang berkerja di dalam sektor pelancongan Sabah, merangkumi lebih 20% daripada keseluruhan pekerja di Sabah.

16.      Ketika pandemik Covid-19, sektor pelancongan Sabah telah mengalami kesan negatif yang hebat. Namun begitu, selepas pandemik Covid-19, sektor pelancongan Sabah telah kembali rancak dan meningkat.

17.      Antara perkembangan terbaru sektor pelancongan di Sabah:

  • pada Disember 2023, Air Asia telah melancarkan laluan penerbangan baru menghubungkan Kota Kinabalu dengan Korea Selatan.

Penambahan laluan penerbangan ini telah mengukuhkan peranan Kota Kinabalu sebagai hab Air Asia ke-2 terbesar di Malaysia.

  • pada November 2023, pembinaan sebuah pusat peranginan mewah 5-bintang di Sabah telah di umumkan.

Pembinaan ini di jangka melibatkan perbelanjaan sebanyak RM 1 billion, dan menyediakan 500 peluang pekerjaan.

  • pada September 2023, pejabat Konsulat Korea Selatan telah di buka di Kota Kinabalu.

Pembukaan pejabat ini selaras dengan peningkatan jumlah pelancong, perdagangan dan pelaburan antara Korea Selatan dan Sabah.

18.      Di samping itu, untuk menjana pertumbuhan sektor pelancongan Sabah, banyak pihak telah menggesa Kerajaan United Kingdom (UK) dan Australia untuk menarik balik nasihat perjalanan/ travel advisory kepada warganegara mereka untuk tidak mengunjungi Pantai Timur Sabah, yang merangkumi kawasan pulau dan tapak menyelam dari Sandakan ke Tawau.

Nasihat perjalanan berkenaan telah berlanjutan selama lebih 10 tahun sejak 2013, berikut isu keselamatan kerana pencerobohan orang Sulu dan ancaman penculikan.

19.      Sebelum ini, pada November 2023, Kerajaan UK telah pun membatalkan nasihat perjalanan kepada warga UK untuk tidak mengunjungi pulau dan tapak menyelam di kawasan maritim sekitar Kudat, Sabah.

20.      Justeru itu, memandangkan peranan dan sumbangan besar sektor pelancongan kepada ekonomi dan rakyat Sabah, Kerajaan Sabah telah menzahirkan hasrat untuk memperolehi kuasa penuh menguruskan keseluruhan sektor pelancongan di Sabah, bukan sahaja program Sabah-MM2H.

21.      Ketua Menteri Sabah di laporkan tegas dengan pendirian agar Kerajaan Sabah memiliki autonomi ke atas sektor pelancongan, dengan menarik keluar pelancongan dari Senarai 1 (Senarai Persekutuan) dan meletakkannya di dalam ‘Senarai Residual/ Residual List’.

Ketika ini, pelancongan berada di dalam Senarai Persekutuan, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, sejak awal 1990-an.

22.      Fakta menarik: Dalam bahasa mudah, di bawah Perlembagaan Persekutuan, Perkara 77 menyatakan bahawa ‘Senarai Residual’ adalah sebarang item yang tidak terkandung di dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan di anggap sebagai berada di bawah kuasa negeri dan wilayah.

Ini bermakna, sekiranya pelancongan di letakkan di dalam ‘Senarai Residual’, Kerajaan Sabah akan memiliki kuasa untuk melaksanakan undang-undang berkaitan dan menguruskan sektor pelancongan di Sabah.

23.      Pendirian ini wajar mendapat sokongan penuh pemimpin dan rakyat Sabah agar Kerajaan Sabah memiliki lebih kuasa untuk merencana agenda pembangunan Sabah. Pendirian ini juga sewajarnya mendapat pertimbangan teliti oleh Kerajaan Malaysia, terutamanya di atas semangat MA63 (Perjanjian Malaysia 1963).

24.      Lebih-lebih lagi, kuasa imigresen adalah hak Sabah sejak penubuhan Malaysia pada tahun 1963. Maka, pemberian kuasa ke atas sektor pelancongan di Sabah adalah tambahan/ extension yang munasabah kepada kuasa imigresen sediada.

25.      Pertumbuhan industri pelancongan yang pesat mampu memacu pembangunan ekonomi Sabah, dan mencapai aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ). Ini boleh di capai sekiranya Kerajaan Sabah mempunyai kuasa penuh ke atas pengurusan keseluruhan industri pelancongan di Sabah. 

26.      Dengan kuasa penuh menguruskan pelancongan di Sabah, Kerajaan Sabah akan turut dapat melaksanakan persediaan yang rapi dan mencukupi untuk meraih manfaat sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026.

27.      Tahniah kepada Kerajaan Sabah kerana telah mendapat kuasa penuh untuk menguruskan program Sabah-MM2H. Ini adalah titik permulaan yang baik dan tepat masanya.

28.      Ekonomi Diperkasa, Rakyat Sejahtera.

RELATED ARTICLES
Utama

Felo SMJ beri ruang golongan muda sumbang idea terus kepada Kerajaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular