Kuching: Atlet olahraga bagi acara lompat tinggi, Ku Yee Leng berjaya melakukan ‘lompatan emas’ sekaligus menghadiahkan pingat emas kelapan buat Sabah pada saingan olahraga di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak di sini pagi tadi.
Anak kelahiran Kunak itu berjaya mencatat lompatan setinggi 1.64 meter untuk merangkul pingat emas yang juga pingat pertama Sabah dalam sukan olahraga pada SUKMA ini.
Bakal guru berusia 19 tahun itu mencatat ketinggian lompatan sama dengan pemenang pingat perak dari Pulau Pinang, Melissa En Xuan Choong tetapi kiraan semula memihak kepada Ku Yee.
Ku Yee diberikan kemenangan kerana berjaya melepasi ketiggian 1.64m pada percubaan kedua berbanding Melissa pada percubaan ketiga. Kedua-duanya gagal dalam percubaan ketinggian 1.67m.
Pingat gangsa dimenangi peserta Sarawak, Sylvia Nawan Anak Sa dengan ketinggian 1.54m.
Seorang lagi peserta Sabah, Nolaeska Kipolos juga mencatat ketinggian lompatan 1.54m tetapi diletakkan di kedudukan keempat berdasarkan kiraan semula yang memihak kepada peserta tuan rumah.
Ku Yee berkata, pingat emas itu adalah bonus kerana dia tidak menjangkakan terutama temasya itu adalah SUKMA pertamanya dan saingan agak sengit dari Melissa.
“Saya percaya boleh menang pingat tetapi tidak menjangka dapat pingat emas kerana saingan agak sengit terutamanya dari Melissa.
“Saya sangat gembira dan pingat emas ini istimewa buat keluarga saya, emak, adik beradik, juga kepada juarulatih dan semua yang memberi sokongan kepada saya sehingga berjaya sampai di sini,” katanya.
Ku Yee berkata, panduan dan sokongan moral jurulatihnnya sepanjang pertandingan tadi juga banyak membantunya.
Lompatan emas Ku Yee itu adalah catatan peribadi terbaiknya di mana catatan terbaik sebelum ini hanya 1.61m yang dilakukannya semasa memenangi pingat emas Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2022. – SABAH MEDIA / FOTO BERNAMA