Kuching : Skuad bola sepak wanita Sabah meneruskan kemaraan ke separuh akhir selepas menang 3-0 ke atas pasukan tuan rumah pada perlawanan terakhir saingan peringkat Kumpulan A di Stadium Negeri, di sini petang semalam.
Sabah mendahului 1-0 pada separuh masa pertama sebelum menambah dua lagi jaringan pada babak kedua.
Fleyvianieh Ishak menjaringkan dua gol manakala satu lagi sumbangan Azzlyeanieh Kinuli menerusi sepakan penalti.
Kemenangan itu mengesahkan skuad bimbingan Petronella Douny berkenaan ke separuh akhir tetapi masih menunggu penelitian semula sama sebagai juara kumpulan atau tempat kedua.
Ia adalah kerana Sabah telah mengumpul jumlah kutipan mata, jaringan dan perbezaan jaringan sama dengan Pahang selepas saingan liga satu pusingan membabitkan tiga pasukan dalam kumpulan itu.
Sabah dan Pahang mengumpul empat mata dengan empat jaringan dan satu bolos. Pertemuan antara Sabah dan Pahang berkesudahan seri 1-1 manakala kedua+duanya menang 3-0 ke atas Sarawak.
Biasanya dalam situasi seperti ini, rekod layangan kad juga akan diambil kira bagi menentukan kedudukan.
“Jawatankuasa penanjur bolasepak sedang meneliti perkara ini. Apapun kami akan terus dengan persiapan menghadapi perlawanan separuh akhir tidak kiralah siapa lawan kami nanti,” kata Petronella.
Perlawanan separuh akhir dijadualkan berlangsung pada 20 Ogos di mana Sabah akan menghadapi sama ada pasukan Selangor selaku juara Kumpulan B atau pasukan ditempat kedua, Wilayah Persekutuan.
“Perlawanan tadi kami ada banyak peluang menjaingkan gol tetapi hanya tiga yang berjaya diterjemahkan. Apapun saya gembira dengan prestasi keseluruhan pemain terutama kemenangan ini.
“Kami akan cuba yang terbaik untuk lepasi pusingan separuh akhir pula,” katanya.
Perlawanan petang semalam turut disaksikan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datul Ellron Angin, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Fairuz Renddan dan Chef de Misson kontinjen Sabah, Datuk Mansur Asun yan juga Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah.