HomeUtamaNelayan terapung bersama tong lebih 24 jam, ditemukan selamat

Nelayan terapung bersama tong lebih 24 jam, ditemukan selamat

Read Time:1 Minute, 29 Second

LABUAN: Seorang nelayan dilaporkan hilang sejak lebih 24 jam yang lalu semasa keluar memancing ditemui selamat dalam keadaan terapung bersama tong di kawasan perairan Pulau 3 dekat sini petang tadi.

Supt Mohd Hamizi Halim semasa ditemui pemberita hari ini.

Ketua Polis Daerah W.P. Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, pihak polis Labuan telah menerima satu laporan pada jam 7.05 petang semalam (19 Ogos) menyatakan seorang lelaki yang keluar memancing pada hari yang sama kira-kira jam 6.00 pagi masih belum kembali sehingga laporan polis dibuat.

Katanya, pengadu iaitu isteri kepada mangsa gagal menghubungi suaminya lalu segera membuat laporan polis.

“Bertindak atas maklumat, satu Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) telah ditubuhkan untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh pelbagai agensi keselamatan bagi mengesan mangsa di kawasan Kampung Aru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pada 20 Ogos (hari ini) jam lebih kurang 1.25 petang, sebuah bot Sukarelawan Bomba Nelayan telah menemui tong ikan berwarna merah di kedudukan 4 batu nutika menuju ke Pulau 3 dipercayai milik mangsa.

“Proses pencarian diteruskan oleh pasukan penyelamat di lokasi tersebut dan pada jam lebih kurang 4.18 minit petang, mangsa ditemukan dalam keadaan terapung bersama tong di kawasan perairan Pulau 3 oleh Pasukan Penyelamat APMM.

“Mangsa dikenali sebagai Ramlee Mahroff, 46, telah ditemui oleh pihak APMM dalam keadaan selamat.

“Mangsa dibawa balik ke pangkalan dan seterusnya dihantar ke hospital Labuan untuk tujuan pemeriksaan dan rawatan selanjutnya,” katanya.

Mohd Hamizi berkata, usaha menyelamat mangsa melibatkan seramai 134 pegawai dan anggota serta melibatkan 11 buah aset milik pelbagai agensi keselamatan.

“Agensi-agensi terlibat terdiri daripada APMM, JBPM TUDM, Kastam, APM ASB, ATM serta Pasukan Sukarelawan.

“Pihak polis merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih atas komitmen semua pasukan yang terlibat dalam membantu mengesan mangsa sehingga akhirnya ditemui,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Speaker DUN disaran beri ruang pelajar IPT kenali institusi Parlimen, DUN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular