Kota Kinabalu : Hab Halal Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (MUIS) akan terus membantu usahawan khususnya di negeri ini untuk mendapatkan persijilan halal dan memastikan prosesnya dipercepatkan bagi mengelak pemohon patah semangat untuk mendapatkan sijil halal.
Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Ramlan Awang Ali yang juga Pengerusi Pengesahan Sijil Halal Malaysia Sabah berkata, pihaknya juga turut memberi penekanan bahawa proses mendapatkan persijilan halal melalui MUIS adalah mudah.
Katanya, inisiatif dilakukan MUIS itu adalah bertujuan untuk memberi kefahaman kepada pemain industri bahawa memiliki sijil halal bukan satu perkara yang sulit atau mustahil.
“Jadi, di MUIS, setiap dua minggu sekali kita akan melaksanakan perakuan, kelulusan untuk mana-mana usahawan atau syarikat yang sudah diaudit untuk kita berikan persijilan halal, sama ada yang baharu ataupun pembaharuan sijil sedia ada.
“Sebab apa? Dari segi komitmen, dari segi kedayaan untuk mendapatkan persijilan halal itu memanglah banyak dokumen memanglah banyak kerja yang perlu dilakukan.
“Tetapi apabila dia memperoleh persijilan halal itu, maka integriti halal itu sendiri kita akan jaga untuk mereka dan keyakinan masyarakat untuk menggunakan makanan atau untuk melanggan di premis berkenaan akan meyakinkan dan lebih meningkat dari masa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis perasmiam Simposium Halal Antarabangsa 2024 (IHS2024), di sini, semalam.
Simposium itu dirasmikan Yang Dipertua MUIS, Datuk Yahya Hussin,
Program sehari itu juga adalah anjuran Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang turut dihadiri kira-kira 200 pelajar dan pakar industri halal dari pelbagai negara.
Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor yang diwakili Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UMS, Prof Dr Coswald Stephen Sipaut @ Mohd Nasri berkata, UMS komited untuk bertukar pengetahun, mengadakan perbincangan dan rangkaian kerjasama berkaitan pembangunan industri halal, khususnya di Sabah.
Katanya, Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan UMS adalah antara perintis dalam penyelidikan, konsultasi dan latihan profesional berkaitan halal. – SABAH MEDIA