HomeUtamaPembedahan otak secara sedar satu kejayaan dalam bidang neurosurgeri

Pembedahan otak secara sedar satu kejayaan dalam bidang neurosurgeri

Read Time:1 Minute, 43 Second

Kota Kinabalu : Pembedahan otak secara sedar ‘awake mini craniotomy‘ yang pertama di Sabah ke atas seorang lelaki berusia 88 tahun mengalami kecederaan otak traumatik baru-baru ini merupakan satu kejayaan dalam memperkembangkan lagi kemajuan dalam bidang neurosurgeri dan neurokritikal di negeri ini. 

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Asits Sanna berkata, pihaknya komited untuk terus menyokong dan memperkukuh kerjasama dengan mana-mana pihak demi manfaat kesihatan dan rawatan kepada rakyat di negeri Sabah.

Katanya, ia juga merupakan satu kejayaan besar yang telah dicapai oleh Hospital Queen Elizabeth II (HQE II).

“Pasukan pembedahan Neuro hospital ini dengan kolaborasi bersama Pakar Bius Otak Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah berjaya melakukan pembedahan otak secara sedar ‘awake mini craniotomy‘ yang pertama di Sabah ke atas seorang lelaki berusia 88 tahun yang mengalami kecederaan otak traumatik pada 30 Julai lalum

“Pesakit tersebut mengalami pendarahan subdural kronik yang besar di bahagian kiri otak akibat terjatuh di taman perumahannya dua minggu lalu, yang mengakibatkan pesakit mengalami gejala sakit kepala yang teruk, kabur penglihatan, pertuturan yang tidak jelas dan kelemahan badan di sebelah kanan.

“Keputusan untuk melakukan pembedahan ini dengan segera telah dibuat bagi mengeluarkan darah beku di otak memandangkan fungsi saraf pesakit ini yang semakin merosot,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Dr Asits berkata, tujuan utama pembedahan dilakukan secara sedar adalah untuk menilai fungsi saraf pesakit secara intraoperatif. 

Katanya, setelah kira-kira 30ml darah beku dikeluarkan, fungsi saraf pesakit telah menunjukkan peningkatan yang baik. 

“Pesakit kini telah pulih sepenuhnya.

Pembedahan ini diketuai oleh Dr. (Mr) Sofan Zenian, Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Pembedahan Neuro HQE II, bersama Dr. Yeap Boon Tat, Pensyarah Kanan dan Pakar Neuroanestetik dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UMS,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Asits berkata, kejayaan pembedahan secara sedar itu telah mengurangkan risiko komplikasi bius penuh dan mengelakkan keperluan pesakit dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Ini sekaligus katanya telah mengurangkan kadar jangkitan nosokomial di ICU.

“JKNS ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada pasukan pembedahan HQE II dan UMS atas kejayaan dan kerjasama ini,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular