HomeUtamaSektor pelancongan kesihatan perubatan di Sabah terus ditingkatkan

Sektor pelancongan kesihatan perubatan di Sabah terus ditingkatkan

Read Time:1 Minute, 42 Second

Kota Kinabalu: Pembukaan Pusat Kecemerlangan Premier Kesihatan Eropah di Alam Mesra, di sini dilihat dapat meningkatkan sektor pelancongan kesihatan dan perubatan di negeri ini.

Pusat ini dijangka dapat menarik penyelidik dari seluruh dunia untuk berkongsi kepakaran mereka dalam bidang perubatan dan sains.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kesihatan perubatan adalah sektor dinamik dan menawarkan pulangan yang baik serta menyumbang kemajuan dalam penjagaan kesihatan.

“Saya difahamkan kemudahan ini akan menawarkan lebih daripada penjagaan kesihatan konvensional, menggabungkan sains perubatan terkini dengan kuasa penyembuhan alam semula jadi di Sabah.

“Pusat ini dikendalikan oleh saintis sel stem terkenal dunia Prof Datuk Seri Dr Mike Chan dan isterinya, pengasas bersama Prof Datuk Seri Dr Michelle Wong yang berasal dari Penampang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Pusat Kecemerlangan Premier Kesihatan Eropah, di sini hari ini.

Hajiji memuji Dr Mike Chan kerana menepati janjinya membawa perniagaannya ke sini dan menjadikan Sabah sebagai hab pelancongan kesihatan perubatan bertaraf dunia.

Katanya, kerajaan negeri berterima kasih atas pelaburan ini dan visi kedua-dua mereka telah menghadiahkan sebuah kemudahan yang pasti akan mengubah kehidupan rakyat Sabah.

“Sabah adalah negeri paling strategik di Asia Tenggara dan menjadi teras negara Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) serta rantau ASEAN.

“Saya membayangkan Sabah dapat berkembang menjadi penghubung serantau untuk banyak prospek pelaburan, termasuk pelancongan kesihatan perubatan,” katanya.

Tambahnya, penubuhan pusat ini membuktikan keyakinan pelabur bahawa Sabah adalah tempat yang baik dan kondusif untuk melabur.

“Ia adalah satu lagi usaha penting dan komitmen kerajaan negeri untuk memajukan Sabah seperti yang digariskan dalam pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

“Dalam era kesihatan dan kesejahteraan telah menjadi keutamaan global, Sabah meletakkan dirinya di barisan hadapan dalam revolusi ini,” katanya.

Hajiji berkata, perkara paling penting adalah pelaburan ke Sabah dapat memberikan banyak peluang pekerjaan, menarik tenaga profesional dan dapat menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negeri.

“Rakyat Sabah perlu membuktikan kepada dunia bahawa kecemerlangan kita melangkaui keindahan semula jadi ke sempadan sains.

“Kita bukan sahaja penerima kemajuan, tetapi memacunya dan meletakkan Sabah sebagai kuasa sebenar dalam kesihatan dan inovasi,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular