HomeUtamaKibar Jalur Gemilang, bendera Sabah semarakkan Bulan Kebangsaan

Kibar Jalur Gemilang, bendera Sabah semarakkan Bulan Kebangsaan

Read Time:1 Minute, 51 Second

Tuaran: Rakyat di negeri ini diajak untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah bagi menyemarakkan lagi Bulan Kebangsaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, rakyat perlu mengambil bahagian dalam Inisiatif ‘1 Rumah 1 Jalur Gemilang’, yang memberi peluang kepada semua untuk menunjukkan rasa cinta dan penghargaan kepada negara.

“Dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah di setiap rumah, kita bukan sahaja memeriahkan suasana Hari Kemerdekaan tetapi juga memperkukuhkan ikatan sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata pada perasmian Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 Peringkat Daerah Tuaran di Dewan Masyarakat Pekan Tenghilan di sini hari ini

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Jahid Jahim.

Hajiji berkata, tahun ini merupakan tahun yang istimewa khas buat rakyat Sabah kerana buat kali pertama Hari Kebangsaan dan Hari Sabah disambut serentak secara rasmi, selepas Hari Sabah diwartakan secara rasmi pada 05 Jun yang lalu.

Katanya, sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah penting bagi Sabah kerana ia adalah masa bagi rakyat menghayati erti kebebasan daripada belenggu penjajahan selama berpuluh tahun.

Tambahnya lagi, Merdeka bukan sekadar kata keramat yang mengandungi tujuh huruf dan memiliki tiga suku kata. Merdeka adalah hasil dari azam kukuh untuk menebus maruah bangsa, ia adalah hasil dari perjuangan suci untuk membela tanah pusaka.

“Merdeka adalah puncak pencapaian satu perjuangan untuk memulakan perjuangan baru. Merdeka terbina atas tiang sejarah, untuk membina sejarah baru. Merdeka adalah milik berharga negara bangsa,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, usaha mewarna dan mencorak masa depan negara terletak pada iltizam dan kesungguhan generasi muda kerana di bahu merekalah letaknya harapan agar negara terus bersatu dan berpadu.

“Di bahu warga muda akan kita galaskan amanah agar negara terus makmur dan sejahtera. Kepada mereka akan kita wariskan tanggungjawab untuk terus memajukan negara.

“Tuhan telah melimpahkan bumi ini dengan kekayaan dan pelbagai peluang, justeru warga muda wajib merebut peluang yang terbentang luas ini dengan membina keupayaan dan mencipta kejayaan lebih cemerlang dan gemilang supaya negara menjadi terbilang,” katanya.

Beliau berkata, Program KMJG bukan sekadar acara tahunan, tetapi adalah simbol perpaduan, kebanggaan dan kesyukuran kita sebagai rakyat Malaysia.

“Ia mengingatkan kita akan pengorbanan dan usaha gigih para pahlawan negara yang telah berjuang demi kebebasan dan kemakmuran yang sedang kita nikmati pada hari ini,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan Potong Berakhir Tragedi: Isteri Pemandu Maut di Lokasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular