HomeUtamaPenerima biasiswa Petronas digesa manfaatkan peluang timba ilmu, kemahiran

Penerima biasiswa Petronas digesa manfaatkan peluang timba ilmu, kemahiran

Read Time:1 Minute, 37 Second

KOTA KINABALU: Semua penerima biasiswa Tajaan Pendidikan PETRONAS 2024 di Sabah digesa supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk meluaskan ilmu dan menimba kemahiran, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji berkata demikian ketika meluangkan masa bertemu dan beramah mesra bersama 12 orang penerima daripada 107 yang dipilih dari Sabah tahun ini, di Menara Kinabalu di sini, hari ini.

12 penerima tersebut merupakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 Sabah dan antara 600 pelajar yang dipilih di seluruh negara untuk biasiswa itu.

“Selepas mendengar ucapan ringkas anda, saya gembira, dan Saya tidak ragu-ragu bahawa anda semua akan mempunyai masa depan yang cerah.

“Justeru itu, lakukan yang terbaik, kerana anda adalah masa depan negeri yang akan membantu memacu pembangunan negara dan negeri,” katanya.

Hajiji turut memuji PETRONAS atas sokongan berterusan terhadap pembangunan akademik belia dan menaja 107 pelajar dari Sabah untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang.

“Saya menghargai komitmen PETRONAS untuk membangunkan modal insan selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri mengutamakan pembangunan modal insan dan memperuntukkan RM470 juta untuk tujuan ini, termasuk biasiswa dan pinjaman pendidikan.

“Tetapi ia tidak mencukupi, dan sebab itu kita minta Yayasan Sabah masuk, dan kita juga tetapkan meningkatkan Tabung Pendidikan Sabah untuk membantu membiayai pendidikan anak-anak kita,” katanya.

Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri juga telah mengambil inisiatif untuk membantu pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima dengan memberi setiap seorang daripada mereka bantuan one-off sebanyak RM200.

Beliau berkata kerajaan negeri turut menyediakan bantuan one-off untuk mereka yang mendaftar di institusi pengajian tinggi sebanyak RM2,000 untuk kursus ijazah dan RM1,500 untuk kursus diploma.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Datuk Raisin Saidin; Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia Datuk Ir Bacho Pilong; Pengurus Besar Kanan PETRONAS (Global HR Partners Downstream), Luqmahani Mustafa Kamal; Pengurus Besar Pelaburan Modal Insan PETRONAS Syed Mohammad Muhafiz Syed Mohd Bakar; dan Pengurus Besar Pejabat Wilayah Sabah dan Labuan PETRONAS Siti Ayu Abdul Wahab.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular