HomeSukanSUKMA 2024 : Bola sepak wanita raih pingat Perak

SUKMA 2024 : Bola sepak wanita raih pingat Perak

Read Time:2 Minute, 0 Second

Kuching: Skuad bola sepak wanita Sabah sekadar meraih pingat perak selepas tewas kepada Selangor 1-3 di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak, petang tadi.

Perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Negeri itu menyaksikan Selangor muncul sebagai pasukan pertama bergelar juara dalam kategori bola sepak wanita apabila mula diperkenalkan pada edisi kali ini.

Sabah membuka jaringan seawal minit ke-11 menerusi Azzlyeanieh Kinuli namun gol itu hanya bertahan enam minit sebelum Nur Adrienna Zamzaihiri menyamakan kedudukan.

Babak kedua bersambung, Nurin Umairah meletakkan Selangor di depan selepas tiga minit separuh masa kedua bermula dan selang lima minit selepas itu, Selangor makin selesa apabila memperoleh gol ketiga menerusi Ayuna Anjani Lamsin.

Perlawanan tamat dengan menyaksikan Selangor memenangi pingat emas manakala Sabah pula terpaksa berpuas hati membawa pulang perak.

Pingat gangsa pula dimenangi Pahang selepas menumpaskan Wilayah Persekutuan 3-1.

Ketua jurulatih Sabah, Petronella Douny berkata, pemainnya telah mencuba yang terbaik tetapi kalah kepada pasukan yang jelas ada kelebihan pemain yang mempunyai lebih banyak pengalaman dan minit permainan.

“Saya fikir kami telah memberi tentangan sengit juga tetapi seperti yang saya katakan awal kepada pemain bahawa dalam perlawanan ini pasukan yang lebih banyak melakukan kesilapan akan lebih berisiko untuk kalah dan ianya kami lakukan lebih banyak kesilapan.

“Apapun, saya ucapkan tahniah kepada Selangor. Kepada pemain saya…jangan berputus asa kerana ramai mereka masih boleh beraksi pada SUKMA akan datang. Jadi, teruskan berusaha dan berlatih,” katanya.

Menurutnya, Selangor jelas ada kelebihan kerana selain memiliki ramain pemain berpengalaman termasuk bekas pemain kebangsaan bawah 17 tahun, mereka juga mendapat pendedahan lebih baik terutama dalam penyertaan liga di Semenanjung.

“Kami pula hanya bergantung kepada latihan. Oleh itu saya fikir, pingat perak ini pun satu pencapaian walaupun kami sebenarnya memburu pingat emas,” katanya.

Sementara itu, Sabah turut berjaya meraih pingat perak menerusi acara lompat jauh lelaki yang dimenangi Kasman Kassim; kuartet 4 x 100 meter lari berganti-ganti lelaki dan  1,500 meter gaya bebas wanita yang diwakili Chu Xin Yin Chu.

Pingat perak turut diraih menerusi acara Tinju yang diwakili Joel Evekly Jain (Feather Weight) dan Jonathan John (Light Middleweight).

Manakala empat gangsa turut diraih Sabah hari ini menerusi Nabil Faiz Ayub (Baling Tukul Besi Lelaki); Muhammad Alianafiah (Angkat berat tidak melebihi 96 kg lelaki); Hizillawanty Jamain (800meter wanita) dan Loo Yie Bing (50 meter gaya bebas wanita).

Sehingga jam 10 malam ini, Sabah menduduki tangga kelapan mengutip 24 emas; 30 perak dan 52 gangsa. – SABAH MEDIA / FOTO SAFA Women

RELATED ARTICLES
Sukan

Sabah sentiasa cakna terhadap pembangunan belia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular