HomeUtama444 geran tanah diserahkan kepada penduduk di Kudat

444 geran tanah diserahkan kepada penduduk di Kudat

Read Time:2 Minute, 44 Second

Kudat : Kerajaan negeri menyerahkan sejumlah 444 geran tanah anak negeri kepada penduduk dari tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam daerah Kudat melibatkan jumlah keluasan 1,130.09 hektar.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyerahkan geran-geran itu sempena Pelancaran Program Bakti Madani Kudat 2024 di Dataran Tomborungus di Kudat, di sini hari ini

“Dengan penyerahan geran tanah ini, kerajaan berharap dapat meningkatkan taraf hidup rakyat dan memberikan mereka peluang untuk membangunkan tanah tersebut demi masa depan yang lebih cerah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan Geran Tanah Anak Negeri kepada salah seorang penerima sempena Majlis Pelancaran Program Bakti Madani Kudat 2024 di Dataran Tomborungus, Kudat pada Sabtu.

“Penyerahan geran tanah anak negeri pada hari ini berikutan beberapa siri penyerahan geran tanah yang telah dilaksanakan di beberapa kawasan antaranya di Pitas dan di Pintasan, Kota Belud.

“Ini adalah bukti komitmen kerajaan negeri dalam memastikan hak dan kepentingan rakyat sentiasa diberi keutamaan. Tanggungjawab ini diambil dengan penuh dedikasi untuk memastikan kesejahteraan dan kestabilan sosio ekonomi rakyat,” katanya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor ketika mengadakan tinjauan mesra ke tapak program sempena Majlis Pelancaran Program Bakti Madani Kudat 2024 di Dataran Tomborungus, Kudat pada Sabtu.

Pemberian geran itu melibatkan sebanyak 353 untuk DUN Matunggung; DUN Tanjong Kapor (55 geran) dan; DUN Banggi (36 geran).

Pada majlis itu, Hajiji turut menekankan pentingnya membawa pembangunan di daerah berkenaan termasuk bercadang mewujudkan satu taman perindustrian yang baharu di Kudat.

Beliau berkata, pengwujudan taman perindustrian di Kudat sesuai kerana daerah ini mempunyai pelbagai kemudahan yang sedia ada termasuk laut yang dalam dan pelabuhan selain lokasi yang strategik kerana dekat dengan beberapa negara seperti China, Korea dan Jepun.

“Justeru, amat penting untuk kita membawa pembangunan di daerah ini dengan pembinaan taman perindustrian, yang sudah pasti memberi manfaat kepada penduduk dan daerah ini.

“Seluas kira-kira 5,000 ekar kawasan diperlukan dan sudah mengenalpasti kawasan terbabit. Oleh itu, kita memerlukan kerjasama daripada wakil rakyat, Ahli Parlimen dan rakyat yang mungkin terlibat tanahnya.

“Konsep kita bukan ambil tanah tetapi kita libatkan rakyat yang ada tanah di kawasan yang dikenalpasti. Bagaimanapun, kita akan berbincang lebih lanjut dengan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri serta Ahli Parlimen di daerah ini,” katanya sambil menambah cadangan ini juga perlu diteliti secara terperinci terlebih dahulu.

Mengenai majlis itu, Hajiji berkata Program Bakti Madani Kudat 2024 adalah satu pendekatan yang sangat relevan bagi meluaskan lagi kefahaman konsep Malaysia Madani dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya kepada masyarakat hingga ke peringkat akar umbi.

“Semua usaha kerajaan ini terutama menerusi agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya kini berada di landasan yang betul, yang pastinya telah dan akan mampu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Program hari ini adalah satu program yang amat baik untuk menyantuni rakyat dengan pelbagai perkhidmatan baik daripada agensi kerajaan negeri dan Persekutuan, syarikat- syarikat GLC), swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) telah disediakan menerusi reruai pameran masing-masing.

“Justeru, saya berharap program ini diperluaskan ke daerah lain agar lebih ramai rakyat di peringkat akar umbi menerima manfaat daripada program ini. Kita akan terus berusaha untuk membina ekonomi yang mampan dan inklusif, termasuklah mempromosikan pelaburan dalam sektor-sektor utama seperti pelancongan, pertanian, dan perindustrian serta ekonomi baharu di negeri ini iaitu Ekonomi Biru,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

JPJ Sabah terima lima unit kenderaan operasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular