HomeUtamaProgram Jelajah HASiL Your Tax Buddy Peringkat Negeri Sabah disambut meriah

Program Jelajah HASiL Your Tax Buddy Peringkat Negeri Sabah disambut meriah

Read Time:2 Minute, 5 Second

TAWAU: Seramai 100 orang mahasiswa daripada pelbagai fakulti di peringkat Diploma hadir memeriahkan Program HASiL Your Tax Buddy @IPT (HYTB@IPT) yang telah berlangsung di Politeknik Tawau di sini, hari ini.

Program anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dengan kerjasama Institut Pendidikan Tinggi (IPT) itu terus giat mengatur strategi dan memperkasa asas pembesaran cukai dengan mendekati generasi muda.

Program yang berkonsepkan edutainment ini merupakan siri jelajah kedua selepas penganjuran di negeri Kedah pada bulan Jun yang lepas.

Menerusi program ini, HASiL dapat mewujudkan kesedaran awal dalam membentuk generasi muda tentang kepentingan cukai terhadap pembangunan negara.

Majlis Penutup HYTB@IPT Sabah 2024 ini telah disempurnakan oleh Shaharrudy Othman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) dan turut dihadiri oleh Sahran @Awang Mohidin, Pengarah Poliktenik Tawau, Noraini Mustafa, Pengarah Jabatan Khidmat Korporat dan Datin Dayang Halimah Awang Ahmad, Pengarah Operasi Negeri, Seksyen Audit Syarikat & Selain Syarikat, HASiL Sabah, pegawai-pegawai kanan HASiL serta Politeknik Tawau.

Sebanyak dua segmen telah dilaksanakan bagi memenuhi pengisian program iaitu HASiL Pocket Talk dan HASiL Taxplorace.

Program ini juga turut mengiktiraf peranan mahasiswa bagi bersama-sama meluaskan kesedaran percukaian dengan melantik dua orang peserta sebagai duta HYTB untuk membantu menyebarkan maklumat percukaian yang diterima daripada HASiL kepada seluruh warga IPT.

Sehubungan dengan itu, Sahran menyatakan rasa bangga dan terima kasih kepada HASiL kerana telah memilih Politeknik Tawau sebagai destinasi HYTB@IPT Sabah 2024 kali ini.

Beliau juga berharap agar program seperti ini dapat dimanfaatkan oleh semua mahasiswa dalam membentuk keyakinan dan sahsiah diri sebagai persediaan ke alam perkerjaan sekali gus membina satu hubungan kerjasama yang padu di antara mahasiswa.

Sementara itu, Shaharuddy dalam ucapannya berkata, pelaksanaan program ini telah diselaraskan dengan Pelan Tindakan Keusahawanan Institut Pendidikan Tinggi untuk mendukung aspirasi negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi melalui pembentukan ekosistem keusahawanan, akademik, industri, kerajaan dan komuniti dalam landskap pendidikan tinggi negara.

Tambah beliau, proses pembelajaran cukai yang dilalui oleh para peserta pada hari ini dapat membantu dalam meningkatkan kefahaman mahasiswa terhadap perundangan, pengoperasian dan kepentingan cukai di Malaysia seterusnya dapat membina asas kesedaran yang mampan ke arah pematuhan cukai secara sukarela pada masa hadapan sesuai dengan peribahasa “Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya”.

Menurut beliau lagi, selain di Sabah, program yang sama juga turut dilaksanakan serentak pada hari ini di negeri Sarawak dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia, Kampus Bintulu.

“Semoga sinergi serta momentum program ini terus mendapat sambutan positif dalam usaha HASiL memperluas asas cukai serta mendidik masyarakat agar cakna mengenai kepentingan dan tanggungjawab membayar cukai demi pembangunan negara dan kemakmuran rakyat,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Pembinaan 12 Rumah Ihsan Membakut dijangka siap Februari 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular