Beaufort : Seramai 100 murid dari tiga buah sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan menerima sumbangan skim khas melibatkan beg sekolah dan alat tulis.
Antara sekolah terlibat Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang Lumadan; SK Bukau dan SK Karangan.
Sumbangan yang dilaksanakan Yayasan Sabah Zon Pendalaman Selatan itu adalah bersempena program Yayasan Sabah bersama Rakyat (YSBR) 2024 di Dewan SK Ladang Lumadan.
Perasmian dan penyampaian sumbangan disempurnakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan.
Ruslan berkata, program yang disasarkan kepada anak-anak sekolah rendah itu terdiri daripada golongan B40 yang dikenal pasti sebagai kumpulan isi rumah yang berpendapatan rendah.
Katanya, ia juga dapat mengurangkan bebanan ibu bapa membeli beg dan alat tulis yang perlu kepada anak anak mereka dan ini adalah pendekatan kerajaan melalui agensi Yayasan Sabah sebagai keprihatinan kerajaan kepada rakyat.
“Saya melihat program ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada murid murid ibu bapa sekali gus harapan mereka mendapat pembelaan daripada kerajaan.
“Hari ini kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang lebih meluas dengan penyerahan beg, memberi biasiswa kepada anak anak kita yang melanjutkan pelajaran dan menyediakan kolej untuk memberi pendedahan kepada anak anak kita dalam bidang kemahiran.
“Oleh itu, saya menyarankan agar anak-anak muda mengambil peluang menggunakan kemahiran ini untuk meningkatkan sosio ekonomi diri dan keluarga untuk keluar daripada tergolong dalam golongan B40,” katanya.
Beliau berkata, pihak KYS telah menyediakan biasiswa yang mana biasiswa ini turut ditawarkan kepada mereka yang melanjutkan pelajaran ke luar negara dan layak mendapat biasiswa tersebut sekiranya memenuhi kriteria yang ditetapkan. – SABAH MEDIA