SANDAKAN: Sejumlah 675 liter disyaki minyak petrol yang diisi di dalam 27 tong telah berjaya dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan.
Minyak petrol tersebut disyaki cuba diseludup ke negara jiran, awal pagi semalam (24 Ogos).
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata anggota penguat kuasa Maritim Malaysia yang sedang menjalankan Op Pluto Timur / Op Khas Cegah PATI (OCP) dan Op Tiris pada pukul 2.40 pagi itu telah mengesan sebuah vesel dalam keadaan mencurigakan bergerak menuju ke perairan Tanjung Pasir, Sandakan.
“Berikutan itu, pihak Maritim Malaysia kemudiannya mengarahkan suspek berhenti dengan menggunakan pembesar suara dan siren untuk pemeriksaan.
“Setelah menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, vesel tersebut terus memecut laju menuju ke kawasan hutan paya bakau berhampiran.
“Dua suspek yang berada vesel berkenaan berjaya meloloskan diri dan meninggalkan vesel tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Menurutnya, vesel yang menggunakan enjin sangkut 85 kuasa kuda itu berjaya ditahan pada pukul 3.00 pagi di kedudukan 0.1 batu nautika tenggara muara Tanjung Pasir, Sandakan.
“Nilai rampasan termasuk barang kawalan, enjin sangkut dan bot dianggarkan berjumlah RM15 ribu.
“Kesemua rampasan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002 kerana melanggar syarat sah lesen dan Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa dokumen yang sah,” katanya.