HomeUtamaKemahiran yang relevan wajar diberikan kepada golongan belia, sesuai dengan pasaran...

Kemahiran yang relevan wajar diberikan kepada golongan belia, sesuai dengan pasaran tenaga kerja

Read Time:5 Minute, 24 Second

Oleh WAN AZRAIN ADNAN

1.        Pada penghujung bulan Julai 2024, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menerbitkan Laporan Anggaran Penduduk Semasa Malaysia 2024. Antara lain, laporan tersebut memaparkan trend dan keadaan penduduk semasa bagi negeri dan wilayah seluruh negara.

2.        Secara ringkas-nya, laporan berkenaan telah menyerlahkan beberapa perkara yang menarik dan luar biasa mengenai Sabah. Ini termasuklah:

  • jumlah dan pertumbuhan penduduk
  • komposisi umur penduduk
  • kewarganegaraan penduduk

3.        Menurut laporan berkenaan, pada tahun 2024, Sabah telah merekodkan:

  • bilangan penduduk seramai 3.742 juta orang, iaitu ke-3 teramai di Malaysia selepas Selangor (7.363 juta) dan Johor (4.186 juta)
  • kadar pertumbuhan penduduk sebanyak 4%, iaitu tertinggi di Malaysia

4.        Daripada jumlah penduduk seramai 3.742 juta orang tersebut, Sabah memiliki jumlah penduduk bukan warganegara yang mencecah 28%.

5.        Ini bermakna bagi setiap 10 orang penduduk di Sabah, 3 orang merupakan bukan warganegara. Jumlah yang terlampau besar!

Lebih-lebih lagi di bandingkan dengan peratusan nasional penduduk bukan warganegara hanyalah 10% sahaja.

Di samping itu, di seluruh Malaysia, terdapat 3.396 juta orang penduduk bukan warganegara. Ini bermakna 31% penduduk bukan warganegara (iaitu 1.043 juta orang) berada di Sabah.

6.        Malah menurut laporan berkenaan, dalam tempoh masa 5 tahun (2020 -2024), Sabah telah menyaksikan perubahan demografi penduduk yang ketara:

  • jumlah keseluruhan penduduk telah meningkat 9.5%, dari 3.418 juta orang (2020) kepada 3.742 juta orang (2024)
  • jumlah warganegara telah meningkat 3.5%, dari 2.608 juta orang (2020) kepada 2.698 juta orang (2024)
  • jumlah bukan warganegara telah meningkat 28.8%, dari 0.810 juta orang (2020) kepada 1.043 juta orang (2024)

7.        Akibatnya, dalam tempoh singkat tersebut, peratusan penduduk warganegara di Sabah telah menurun dari 76.3% kepada 72.1%, manakala penduduk bukan warganegara telah meningkat dari 23.7% kepada 27.9%.

8.        Dalam masa satu tahun (2023 – 2024), jumlah warganegara telah meningkat seramai 23.1 ribu orang, dan jumlah bukan warganegara telah meningkat seramai 122.3 ribu orang, iaitu 5 kali ganda peningkatan.

9.        Tambahan lagi, dengan jumlah penduduk bukan warganegara yang sangat besar, sudah pasti bilangan penduduk tanpa dokumen yang berada di Sabah secara haram/ tidah sah juga adalah sangat besar. Inilah hakikatnya.

10.      Apa sudah jadi?

11.      Data DOSM menunjukkan Sabah tidak mencatatkan kadar kelahiran yang tinggi luar biasa, yang boleh menjelaskan peningkatan penduduk yang mendadak. Sebaliknya, kadar kelahiran Sabah adalah lebih rendah daripada kadar kelahiran nasional dan ke-10 terendah berbanding dengan negeri dan wilayah seluruh negara.

12.      Maka, peningkatan tinggi penduduk di Sabah bukanlah berpunca dari pertumbuhan semulajadi/ organic growth, tetapi terhasil daripada migrasi warga asing bukan warganegara ke Sabah. 

13.      Situasi ini terhasil setelah Kerajaan Malaysia membuka sempadan negara dan membenarkan pengambilan semula pekerja asing pasca pandemik Covid-19. Akhirnya, ramai pekerja asing kembali ke Sabah untuk bekerja, terutamanya di sektor perladangan kelapa sawit.

14.      Sektor perladangan kelapa sawit memerlukan jumlah pekerja yang ramai memandangkan Sabah memiliki keluasan ladang kelapa sawit ke-2 terbesar di Malaysia, merangkumi 27% dari jumlah keseluruhan ladang kelapa sawit negara.

15.      Tetapi, adakah peningkatan penduduk bukan warganegara di Sabah seramai 122.3 ribu orang (2023 – 2024) kesemuanya adalah warga asing dengan dokumen yang sah?

16.      Pada masa yang sama, dengan peningkatan penduduk yang tinggi, Sabah turut merekodkan peningkatan bilangan isi rumah/ number of households hampir 11%, meningkat dari 728.2 ribu (2020) kepada 806.3 ribu (2024).

17.      Manakala, purata saiz isi rumah/ average household size di Sabah adalah 4.6 orang, tanpa perubahan ketara. Namun begitu, purata saiz isi rumah di Sabah adalah lebih tinggi berbanding purata nasional (3.7 orang), dan ke-2 tertinggi selepas Kelantan (4.8 orang).

18.      Adakah kebetulan Sabah dan Kelantan yang memiliki purata saiz isi rumah yang tinggi juga merekodkan insiden kemiskinan tertinggi di Malaysia atau ada hubung-kait/ correlation?

Besar saiz isi rumah, besar jugalah pendapatan isi rumah yang di perlukan.

19.      Apa yang pasti ialah insiden kemiskinan di sebabkan oleh pelbagai faktor, yang saling berkaitan. Oleh kerana itu, agenda pembasmian kemiskinan adalah rumit dan insiden kemiskinan sukar untuk di tangani.

20.      Selain itu, laporan berkenaan menunjukkan Sabah memiliki populasi penduduk yang muda, di mana umur penengah/ median age ialah 27.4 tahun. Ini lebih rendah dari umur penengah negara (30.9 tahun), dan merupakan umur penengah ke-3 terendah di Malaysia, selepas Kelantan (25.6 tahun) dan Terengganu (27.1 tahun).

21.      Malah, jumlah belia (15 – 30 tahun) di Sabah merangkumi hampir 40% daripada jumlah keseluruhan penduduk Sabah, iaitu tertinggi di Malaysia.

22.      Dengan jumlah belia yang ramai, cabaran utama Sabah ialah menyediakan golongan belia ini dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan dengan pasaran tenaga kerja, dan seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan yang mencukupi di dalam semua sektor ekonomi Sabah.

23.      Sejak sekian lama, Sabah telah berterusan mencatatkan kadar pengganguran tertinggi di Malaysia. Untuk Suku Tahun Pertama 2024 (ST1 2024), kadar pengganguran di Sabah adalah 7.9%.

24.      Data sediada menunjukkan kebiasaan-nya golongan belia merupakan kumpulan penggangur terbesar. Sebagai contoh. Menurut Laporan Tenaga Buruh Malaysia Suku Tahun Pertama 2024 oleh DOSM, daripada jumlah pengganguran negara, lebih 50% adalah golongan belia (15 – 24 tahun).

Tanpa data berkaitan, Sabah berkemungkinan besar turut merekodkan jumlah pengganguran belia yang tinggi, selari dengan kadar pengganguran belia nasional.

25.      Antara fokus utama untuk belia ialah:

  • melonjakkan pencapaian peperiksaaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), di mana ketika ini Sabah mencatatkan prestasi terendah negara
  • meningkatkan penglibatan pelajar Sabah di dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), di mana ketika ini pada paras 27% sahaja

26.      Laporan Anggaran Penduduk Semasa Malaysia 2024 berkenaan jelas menunjukkan demografi penduduk Sabah telah berubah dengan ketara, di mana jumlah dan peratusan penduduk bukan warganegara telah meningkat dengan mendadak.

27.      Situasi ini telah dan boleh memburukkan lagi isu-isu sosial, ekonomi, keselamatan dan kesejahteraan Sabah. 

28.      Sekiranya trend ini berterusan, Sabah bukan lagi Sabah dalam erti kata sebenar.

RELATED ARTICLES
Utama

518 kes pokok tumbang berlaku di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular