Membakut : Pesta Ambuyat yang julung kali diadakan di daerah ini merupakan satu inisiatif bagi memperkenal dan mengembangkan lagi makanan tradisi masyarakat Brunei secara meluas khususnya kepada generasi muda.
Presiden Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, menerusi pesta itu juga, pihaknya juga berusaha untuk turut sama membantu Kerajaan dalam memperkasa pelancongan melalui seni budaya etnik Brunei.
“InsyaAllah selepas ini kita akan cari jalan bagaimana kita boleh melebarkan lagi makanan tradisi ini kepada pihak yang lain. Tapi ambuyat ini bukan saja dalam kalangan masyarakat Brunei tetapi etnik lain pun ada. Jadi kita akan sama-sama memperkasa termasuklah yang lain.
“Itulah salah satu caranya kita mengadakan program seumpama ini. Sebenarnya kita ingin memperkenalkan ambuyat ini kepada masyarakat khususnya anak muda atau generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pesta Ambuyat 2024 di sini.
Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah berkata, pihaknya juga akan berusaha untuk meluaskan lagi pesta seumpama itu dengan penglibatan masyarakat lain.
“Pesta Ambuyat ini adalah pecahan daripada karnival Baurung-Baurung yang kita anjurkan, jadi kita buat dua. Jadi Baurung-Baurung kita buat dua tahun sekali, Pesta Ambuyat dua tahun sekali. Bila Baurung-Baurung tahun ini, Pesta Ambuyat tahun depan.
“Jadi semua setiap tahun kita adakan program dan Alhamdulillah program pada Pesta Ambuyat kali ini kita sekalikan dengan Festival Zapin Masyarakat Brunei.
“Ini sangat baik dan saya lihat kita perlu ada penerus kepada seni budaya masyarakat kita khususnya masyarakat brunei mencari, mengambil inisiatif untuk membimbing, mengasah bakat anak-anak kita dari sekolah tadika lagi sehingga ke peringkat sekolah rendah dan menengah,” katanya. – SABAH MEDIA