HomeUtamaKiswah Prihatin bersama lima NGO beri sumbangan untuk SK Pulau Bait

Kiswah Prihatin bersama lima NGO beri sumbangan untuk SK Pulau Bait

Read Time:2 Minute, 8 Second

SEMPORNA: Badan Bukan Kerajaan (NGO), Kiswah Prihatin dengan kerjasama Semporna Prihatin bersama lima NGO salur bantuan anggaran RM50, 000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Bait dan ibu bapa melalui Program Buka Minda Hijrah Diri, Sampaikan Cahaya Ke Pedalaman Sabah.

Pengerusi Pertubuhan Kiswah Prihatin, Zamira Azmin Ariffin berkata, SK Pulau Bait menerima bantuan berbentuk dana kewangan bagi membaik pulih ruang yang usang, keperluan asas seperti alat pembesar suara dan kipas, serta pek makanan kepada ibubapa.

Tambah beliau, dengan kerjasama kumpulan MyMedik seramai 200 penduduk termasuk 36 pelajar SK Pulau Bait mendapat perkhidmatan berkhatan secara percuma.

“Ini merupakan sinergi NGO terlibat dan dengan sinergi itu kita dapat sumbangkan lebih banyak pemberian dana kepada sekolah dan penduduk di semporna termasuk bersunat secara percuma kepada lebih 200 penduduk di kepulauan Semporna.

“Kita turut menyumbang sebuah van jenazah secara percuma, pek jenazah, pek makanan dan juga kit kesihatan termasuk alat pembesar suara untuk kegunaan surau sekolah dan juga dana kepada pembaikan bilik J-QAF di SK Pulau Bait,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan di Sekolah Kebangsaan Pulau Baik, di sini, semalam.

Program Buka Minda Hijrah Diri, Sampaikan Cahaya Ke Pedalaman Sabah selama tiga hari bermula 23 Ogos hingga 25 Ogos 2024 itu telah menyalurkan bantuan anggaran RM200, 000 kepada penduduk di kepulauan Semporna dan Sandakan termasuk sekolah.

Sumbangan dikumpulkan dengan gabungan lima NGO iaitu, Kiswah Prihatin, Semporna Prihatin, Pertubuhan Al-Idrees, Pertubuhan Ad-Deen, Jiwa Amal Malaysia (JIWA), Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, dengan kerjasama MyMedikal Healthcare, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bersama Ihsan Madani dan Borderless Humanity.

Mengulas lanjut, Zamira berkata dengan sinergi NGO ini mampu membawa cahaya (bantuan) kepada mereka yang memerlukan di pedalaman Sabah selain berharap bantuan yang disalurkan dapat memberi manfaat berterusan kepada penerima.

“Kalau hari ini kita dapat memberi kipas percuma kita harapkan ada pelajar-pelajar di sini berjaya dunia dan akhirat dan mereka akan datang ke semenanjung dan membawa sinar pula ke semenanjung.

“Itulah harapannya…dana yang kita berikan adalah merupakan ilmu untuk kegunaan mereka pada masa akan datang sehingga ke akhirat, insyaAllah,” tambah Zamira.

Sementara itu, Guru Besar SK Pulau Bait, Muhmad Ja’afar menyambut baik bantuan yang disalurkan khusus buat SK Pulau Bait dan beranggapan ia memberi impak besar terutama kepada pelajar-pelajar serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Ini adalah satu perkara yang kami sangat perlukan memandangkan kita melihat sendiri keadaan sekolah SK Pulau Bait…jadi NGO ini dapat membantu dalam segi infratruktur usang terutamanya kepada pengguna-pengguna…juga untuk beberapa program.

“Saya selaku guru besar sangat mengharapkan ia adalah satu program yang sangat berimpak kepada anak-anak dan PIBG,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sektor pelancongan Sabah berkembang 3.0 peratus pada 2023 – DOSM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular