HomeUtamaSambutan Hari Sabah, merungkai sejarah kemerdekaan Sabah sebenar

Sambutan Hari Sabah, merungkai sejarah kemerdekaan Sabah sebenar

Read Time:2 Minute, 52 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Sejarah Hari Sabah ini adalah sejarah yang tercicir perlu difahami seluruh rakyat Malaysia khususnya rakyat di negeri ini bahawa Sabah pernah merdeka dan harus kita hormati sejarah itu, kata Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Justeru itu, katanya, sambutan Hari Sabah ini diwujudkan untuk memberi kesedaran dan pemahaman kepada seluruh rakyat Sabah mengenai sejarah yang tercicir ini atau sejarah sebenar bahawa Sabah pernah merdeka pada 31 Ogos 1963 sebelum pembentukan Malaysia.

“Kita mesti beri kesedaran kepada rakyat Sabah khususnya bahawa Sabah pernah merdeka pada 31 Ogos 1963, itu sebab sambutan Hari Sabah diwujudkan bagi memperingati kemerdekaan Sabah.

‘Ini kerana sampai sekarang kebanyakan rakyat Sabah tidak sedar atau takut mengatakan perkataan merdeka walaupun hari-hari mereka menyanyi Sabah Tanah Airku …. Sabah Negeri Merdeka… diperenggan terakhir, merdeka sepanjang masa…ini dalam konteks nasional, kita tidak sedar sebab kita cuma nyanyi sahaja tetapi tidak menghayatinya.

“Saya berharap mulai dengan sambutan Hari Sabah ini, kita memperingati hari kemerdekaan ini sekali gus kita akan menjiwai lagu kebangsaan kita,” katanya pada sidang sempena Sambutan Hari Sabah 2024 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Jeffrey yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Sabah 2024 berkata, kerajaan mahu rakyat Sabah sedar sejarah yang betul dan dapat sebulat suara memperjuangkan hak-hak rakyat dan negeri Sabah.

“Kita mahu rakyat kita sedar, pemimpin dan kerajaan kita sedar sejarah yang betul yang penuh, bila ada kesedaran itu, ia akan menjiwainya secara otomatik memperjuangkan hak yang ada.

“Oleh sebab itu kita akan ada suara yang ramai untuk menuntut apa yang patut dituntut oleh kita sebagai contoh yang masih belum lagi kita berjaya menuntut walaupun ada interim payment adalah hak hasil 40 peratus negeri Sabah yang selama ini belum dibayar oleh kerajaan persekutuan kerana kita tidak cukup suara,” tegasnya.

Pada sidang media sama, ditanya mengenai sejarah Sabah yang dikatakan tercicir itu akan dimasukkan ke dalam silibus pembelajaran subjek Sejarah di sekolah-sekolah di Malaysia oleh Kementerian Pendidikan, Jeffrey berkata, terpulang kepada kita melengkapkan keperluan itu daripada kerajaan pusat.

“Sudah tentu kita akan meminta dan supaya sejarah Sabah dimasukkan di dalam silibus pembelajaran Sejarah kita.

“Respon positif, kita sekarang mengambil langkah untuk menyediakan bahan-bahan sejarah itu, terpulang kepada kita untuk melengkapkan keperluan itu supaya tindakan itu boleh diambil oleh Kementerian Pendidikan membuat keputusan untuk memasukkan sejarah Hari Sabah dan Penubuhan Malaysia ini dalam kurikulum sekolah.

“Saya berharap kita ada peranan supaya pendidikan ini akan diturunkan dan menjadi tanggungjawab kita seperti di Sarawak, kita akan pastikan sejarah ini masuk ke dalam silibus pembelajaran kita,” jelasnya.

Menurut Dr Jeffrey, sambutan Hari Sabah bertepatan pada masanya dan dijadikan perayaan tahunan negeri itu sejak ia diluluskan dan diwartakan dalam Mesyuarat Kabinet Negeri pada 5 Jun lalu serentak disambut dengan Hari Kebangsaan.

“Hari Sabah hari bersejarah bagi kita selepas 60 tahun yang lalu dan kabinet meluluskan kita meraikan sambutan Hari Sabah serentak dengan Hari Kebangsaan.

“Diraikan julung kalinya di daerah Tambunan tahun lalu (2023) dan tahun ini di Kota Kinabalu.

“Hari Sabah juga adalah cuti umum dan akan diraikan secara bergilir supaya semua daerah dapat menikmati perayaaan ini dari segi perpaduan, pemahaman sejarah, ekonomi (tamu, pameran, ceramah).

“Ini akan mewujudkan suasana perayaan yang meriah dan tentunya hotel-hotel kita akan penuh, ini sebab kita perlu mengadakan secara bergilir ke daerah-daerah lain di negeri ini,” katanya.

Orang ramai dialu-alukan untuk hadir ke sambutan Hari Sabah 2024 yang akan berlangsung di Padang Merdeka Kota Kinabalu pada 31 Ogos 2024 bermula jam 6 petang.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular