HomeUtamaPemerkasaan wanita elemen penting bina masyarakat progresif

Pemerkasaan wanita elemen penting bina masyarakat progresif

Read Time:1 Minute, 51 Second

KOTA KINABALU: Pemerkasaan wanita merupakan satu elemen yang amat penting dalam membina masyarakat yang progresif, kata isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag.

Katanya, pemerkasaan bukan saja berkaitan memberi kuasa atau peluang kepada wanita, tetapi juga memberikan kesedaran kepada setiap individu untuk memperkasakan diri mereka sendiri dan juga keluarga.

“Kita perlu menggalakkan kesedaran ini dalam kalangan wanita, lelaki dan generasi muda. Ini kerana pemerkasaan yang sebenar adalah untuk memberikan ruang kepada setiap individu untuk berkembang, mencapai potensi penuh mereka dan menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan keluarga, masyarakat, negeri dan negara”, katanya pada Program Kesedaran Pemerkasaan Gender dan Kesihatan Mental Wanita di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, dalam dunia yang semakin mencabar ini, isu kesihatan mental yang melibatkan kaum wanita tidak boleh diabaikan kerana mereka cenderung mengalami masalah mental berbanding lelaki.

Menurutnya, secara global isu kesihatan mental melibatkan wanita direkodkan dua kali ganda berbanding lelaki disebabkan wanita sering menghadapi tekanan yang lebih tinggi akibat daripada pelbagai peranan yang mereka mainkan, sama ada sebagai isteri, ibu, suri rumah, pekerja dan pemimpin dalam masyarakat.

Katanya, menurut pakar terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan kecelaruan mental dalam kalangan wanita dan faktor paling utama adalah kerana genetik atau keturunan.

Bagaimanapun katanya, masalah ini masih boleh berlaku disebabkan faktor lain seperti gangguan bahan kimia dalam otak, selain faktor tekanan yang merupakan antara penyebab masalah kecelaruan mental yang berpunca daripada diri sendiri, keluarga, pasangan, majikan, rakan serta media sosial.

“Masalah ini kesihatan mental boleh ditangani sebaiknya jika ia dicegah lebih awal.

“Justeru amat penting kita memastikan golongan wanita mempunyai sokongan yang mencukupi untuk menjaga kesejahteraan mental mereka, termasuklah kemudahan rawatan komprehensif merangkumi aspek fizikal dan psikologi seperti kaunseling”, tegasnya.

Juliah berkata, kerajaan negeri akan terus memperkasa golongan wanita di Sabah melalui pelbagai program pembangunan wanita yang merupakan aset yang mampu menyumbang kepada pembangunan sesebuah negeri dan negara.

“Kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM5.83 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah untuk membiayai pelaksanaan program kepimpinan dan pembangunan wanita di negeri ini.

“Kemudahan pinjaman mikro kredit untuk wanita diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM10 juta yang disalurkan kepada Yayasan Usaha Maju (YUM).

“Langkah ini adalah untuk memastikan mereka mendapat peluang dan manfaat yang setara, dan bergerak maju ke hadapan bagi mencapai matlamat pemerkasaan gender”, katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

518 kes pokok tumbang berlaku di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular